BAKAR GEREJA, KALIMAH ALLAH & NATRAH …

Buku ini saya beli ketika menghadiri Majlis Perkahwinan pada 20 Dis 2009


Sewaktu mengadakan rumah terbuka tempoh hari saya sengaja menggantungkan beberapa kain pemidang berkenaan produk yang saya terlibat sama, sekadar berkongsi maklumat dengan para jemputan dari kalangan kawan-kawan yang sudi menghadirkan diri.

Beberapa minggu lalu ketika saya menemani seorang teman menghadiri majlis perkahwinan anak temannya, saya agak terkejut kerana ada jualan buku oleh penulis yang menjadi tetamu majlis perkahwinan tersebut.

Buku Natrah:Cinta, Rusuhan, Air Mata setebal 470 muka surat adalah sebuah dokumentasi bukan sahaja mengenai cinta antara dua benua bahkan adalah catatan pengalaman bagaimana umat Islam mempertahankan kesucian agama mereka.

Penulis buku ini, Datin Fatini Yaacob bukanlah orang baru dalam isu Natrah ini, malah beliau telah begitu terlibat ketika masih bersama majalah Dewan Masyarakat sebagai seorang wartawan. Walaupun buku setebal itu telah saya selesaikan dalam masa kurang tiga hari (di luar kelaziman saya) saya begitu tersentuh dengan dedikasi penulisnya: istimewa untuk saudaraku bangsa Melayu yang selalu dalam doaku.

Seusai pembacaan saya, kisah Natrah yang telah hampir enam dekad berlalu bukanlah suatu yang begitu mudah dilupakan malah keterlibatan umat Islam dari semua bangsa amat menyentuh sekali.

Ketika kita dikejutkan dengan polemik penggunaan kalimah ALLAH, kisah gereja dibakar, kisah Natrah akan sentiasa menjadi igauan ngeri kepada yang bukan Islam bagaimana seluruh umat Islam bersatu dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

Dalam prakata buku ini, penulisnya mengungkapkan: Ahli UMNO ketika itumeletakkan kepentingan agama melebihi kepentingan politik. Mereka sanggup mengingkari kehendak pemimpin parti daripada membelakangkan kepentingan agama. Saya membayangkan alangkah baiknya jika semangat ini berterusan dalam jiwa ahli UMNO sehingga hari ini – Fatini Yaacob.

Ketika UMNO berusaha menjadi juara rakyat, seharusnya UMNO menjadi juara agama demi bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

Buku ini yang diterbitkan oleh Penerbit UTM berjaya menyampaikan matlamat penulis mengenai mesej untuk bangsa Melayu dan umat Islam seluruhnya. Walau Natrah telah meninggal dunia pada 8 Julai 2009 yang lalu, saya percaya kisah Natrah hanyalah refleksi kesungguhan sesuatu agama mempertahan akidah daripada terus dijajah. Terima kasih Natrah!

Ulasan

ustazah berkata…
Saya pernah membaca kisah Natrah dalam majalah DM.
syed berkata…
Kisah Natrah seolah-olah sedang diimbas kembali pada masa ini..
karim berkata…
kisah natrah semacam berulang lgi untuk umat Islam terus bersatu..
selasih berkata…
kisah yg patut jadi teladan kepada umat Islam dan bangsa Melayu
awie berkata…
syabas kerana mengingatkan mengenai Natrah..
anis berkata…
Saya pernah membaca kisah natrah dalam Dewan Masyarakat..saya percaya situasi skrg mungkin ke arah semacam itu..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?