SPRM, BUAT SAJALAH KERJA!



Antara agensi yang menjadi tumpuan pasca kerajaan baru di bawah Pakatan Harapan adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).  Agensi ini memang menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia dan antarabangsa.  Sebabnya adalah mudah kerana agensi ini yang sepatutnya berfungsi secara bebas, khabarnya terikat tangannya apabila mengendalikan kes-kes berprofil tinggi.

Kes terbaru pasca kerajaan baru selepas 10 Mei 2018, adalah kes yang berkaitan dengan 1MDB yang pengerusinya adalah Datuk Sri Najib Tun Razak, mantan Perdana Menteri.

Apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mengambilalih tampuk kepimpinan negara, antara agenda reformasinya adalah memperbaiki sistem yang telah rosak.  Yang paling terkesan adalah SPRM.  Ketika era Najib, SPRM diterajui oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang kini telah kembali ke Jabatan Peguam Negara, kerana meminta untuk dilepaskan daripada kontraknya.

Banyak nama-nama yang muncul, antaranya adalah Tan Sri Abu Kassim yang pernah menerajui SPRM sebelum dipinjamkan ke Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), akhirnya Perdana Menteri melantik Datuk Sri Mohd Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru memulakan tugas dengan mengadakan sidang akhbar yang penuh sesak dengan pengamal media tempatan dan antarabangsa.  Datuk Sri Mohd Shukri bukanlah sosok yang baru dalam SPRM, telah berkhidmat selama 36 tahun dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) dan memilih untuk bersara awal pada 31 Julai 2016.

Dalam sidang medianya, beliau menceritakan apa yang sebenarnya berlaku mengenai skandal 1MDB.  Beliau memilih untuk menceritakan kepada umum, kronologi mengenai siasatan 1MDB. 

Bukanlah niat sesiapa pun untuk mempertikaikan kisah tragis beliau dalam kes berkaitan 1MDB, tetapi sebagai seorang yang diamanahkan untuk menjalankan siasatan dan kini menerajui sebuah agensi pencegahan rasuah yang penting seperti SPRM, bukankah lebih baik terus sahaja menjalankan tugasnya yang belum selesai daripada memberikan gambaran-gambaran yang tentunya menimbulkan andaian dan spekulasi dalam kalangan rakyat.

Sebagai seorang Ketua Pesuruhjaya, beliau sepatutnya mempamerkan tindak tanduk dan ketegasannya dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.  Biarlah tindakannya yang menjadi cerita kepada media dan rakyat khasnya.

Tidak perlu bercerita mengenai ugutan, ketidakpuasan hatinya, kesedihannya apabila pegawainya dipindahkan, apatahlah kes 1MDB diklasfikasikan sebagai berprofil tinggi.

Kepada Datuk Shukri dan SPRM, eloklah buat kerja yang belum selesai, demi manfaat negara dan rakyat Malaysia! Kurangkan retorik.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?