RAMADAN YANG MANIS


Siapa sahaja yang pernah merasai hukuman samada penjara mahupun lokap, tentulah boleh membayangkan kesukaran dan sangat menghargai erti sebuah kebebasan.  Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani hukuman penjara sejak tahun 1999.

Ketika mulanya  bahang reformasi pada tahun 1998, selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari semua jawatan politik dan parti saya telah menyaksikan kebangkitan rakyat.  Ini kerana laungan reformasi dapat dilihat dari rumah saya yang berhadapan dengan lebuhraya Kesas.

Selepas 1998, politik di Malaysia telah memasuki fasa yang baru, fasa yang tidak pernah terfikir oleh akal yang wajar.

Manifestasi kebangkitan rakyat telah diterjemahkan dalam pilihanraya umum pada tahun 1999, apabila bilangan kerusi yang dimenangi oleh pembangkang meningkat kepada 45 berbanding 30 pada pilihanraya umum 1995.

Selepas Dr. Mahathir melepaskan teraju utama negara pada 2003, Pak Lah mengambilalih tampuk pemerintahan dan mengadakan pilihanraya umum pada 2004 dan BN mencatat kemenangan besar dengan mememenangi hampir 90% kerusi yang dipertandingkan.

Namun ‘kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari’ begitulah yang berlaku kepada pemerintahan Pak Lah, dan dengan desakan Dr. Mahathir akhirnya tampuk pemerintahan beralih kepada Datuk Sri Najib bermula tahun 2009, selepas pembangkang berjaya menambah undi mereka kepada 46.75% dalam pilihanraya umum 2008.

Di bawah tampuk kepimpinan Datuk Seri Najib, beliau melalui dua pilihanraya umum iaitu pada 2013 di mana menyaksikan kerusi yang dimenangi oleh pembangkang meningkat kepada 89 buah daripada 82 sebelum ini.  Ketika pemerintahan Datuk Seri Najib, terdapat pemimpin UMNO yang sangat kritikal antaranya adalah Timbalan Presidennya – Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presidennya – Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Mukhriz yang ketika itu menjadi Menteri Besar Kedah.  Kemuncaknya adalah pemecatan kesemua mereka daripada UMNO sehingga menyebabkan UMNO tidak mengadakan pertandingan selepas dua kali penangguhan.  Ini bermakna, UMNO tidak mengadakan pertandingan dan tidak mengisi kerusi yang dikosongkan oleh Timbalan & Naib Presidennya. 

Selain daripada kalangan pemimpin UMNO, sosok lain yang sangat kritis terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib adalah Dr. Mahathir.  Pelbagai usaha dilakukan oleh Datuk Seri Najib untuk menyekat kemaraan mereka yang menentang kepimpinannya.  Antaranya adalah persempadanan semula dan pengenalan Akta Berita Tidak Benar.  Dalam masa yang sama, pembangkang memilih untuk berketuakan Dr. Mahathir.  Selain daripada penubuhan dua parti baru iaitu Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diketuai oleh Dr. Mahathir. 

Beberapa hari sebelum pembubaran Parlimen pada 7 April 2018, parti PPBM dibubarkan sementara oleh Pendaftar Pertubuhan.  Hal ini tidak mematahkan semangat pembangkang yang bersetuju untuk hanya menggunakan logo parti Keadilan sebagai logo Pakatan Harapan.

Pilihanraya umum yang ke-14 berlangsung pada 9 Mei 2018, harapan BN untuk menawan Selangor punah malah derita mereka bertambah apabila Barisan Nasional gagal mendapat bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan, di samping kehilangan hampir kesemua negeri di Semenanjung kecuali Perlis dan Pahang, di samping kehilangan Sabah kepada Pakatan Harapan. 

Pada 9.54 malam, 10 Mei 2018 seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan, Tun Dr. Mahathir yang dinamakan sejak awal sebagai Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-tujuh.  Satu rekod baharu tercatat dalam politik tanahair.   Barisan Nasional yang selama ini menjadi pemerintah akhirnya akur dan menjadi pembangkang buat pertama kali dalam sejarah Parlimen Malaysia.

Beberapa hari selepas itu, usaha memohonan pengampunan untuk Datuk Seri Anwar bermula, akhirnya sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan tanpa syarat malah rekod penjaranya telah ditiadakan atas kuasa dan keprihatinan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Bagi UMNO dan BN, pilihanraya umum ke-14 adalah seperti mimpi ngeri yang cuba dielakkan, namun kuasa Allah SWT tiada siapa dapat menghalangnya, benarlah ‘takdir selalu mengatasi tadbir’.

Pembebasan Anwar Ibrahim di ambang Ramadan dan kejayaan Pakatan Harapan menafikan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib adalah seperti hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia, apa lagi yang diharapkan untuk melihat Malaysia yang baru dengan politik matang tanpa ada politik ‘balas dendam’ kepada pemimpin sebelum ini.

Semoga Ramadan kali ini adalah yang paling manis buat keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang berjaya membuat perubahan. 

Salam Ramadan!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

KEMELUT PERSATUAN SUKAN ...