LOW YAT 2 & IMPIAN SUKU ABAD!

Saya mula menggunakan komputer di penghujung tahun 80an.  Ketika itu, komputer adalah agak besar dan mengambil ruang yang besar.  Ketika itu, sistem operasinya adalah berasaskan MS-DOS.  Menggunakan cakera liut (floppy disk).  Tidak ada Plaza Low Yat ketika itu.  Yang ada ketika itu adalah Plaza Imbi yang menempatkan puluhan kedai-kedai komputer.  Plaza Imbi pula selalu dikhabarkan pusat jualan pelbagai barangan berasaskan komputer samada yang tulin mahupun tiruan.

Saya sendiri ketika mahu membeli komputer yang mahu digunakan untuk bermain ‘game’ sahaja pada awalnya mengambil masa lebih dua minggu untuk memastikan saya tidak ditipu.  Maklumlah ketika itu membeli komputer dengan perbelanjaan hampir RM4,000 adalah satu pelaburan yang agak besar.  Setelah hampir dua minggu saya menyelusuri dan meninjau-ninjau, akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli di sebuah kedai di situ.

Selepas Plaza Imbi menjadi pusat barangan tiruan, selepas sedekad muncul pula Plaza Low Yat pada penghujung tahun 90an.  Tanyalah siapa sahaja yang menggunakan gadjet yang paling minima hatta telefon bimbit yang paling murah, tentu sahaja pernah menjejaki kaki di sini.

Siapa sahaja yang berkunjung ke Kuala Lumpur seperti tidak lengkap kunjungannya jika tidak ke Plaza Low Yat apatah lagi jika dia mengikuti perkembangan dunia teknologi informasi.

Begitulah Plaza Low Yat menjadi tumpuan pengunjung luar dan dalam negara.  Ketika heboh diperkatakan mengenai kejadian kes curi melibatkan seorang pemuda Melayu, saya hanya tersenyum.  Apa tidaknya, kes curi di Plaza Low Yat adalah sangat terpencil, hanya mereka yang benar-benar berani untuk menjadi di Plaza Low Yat. 

Namun kes penipuan dan jualan barangan tidak asli memang dapat dikesan di Plaza Low Yat, walaupun bilangannya tidaklah begitu meruncing.  Namun faktor-faktor lain seperti penetapan harga adalah sangat ketara di sini.

Apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan penubuhan ala-ala Plaza Low Yat di bangunan MARA di ibu kota, tentulah ramai pengguna khususnya orang Melayu merasa teruja.

Namun sekadar penubuhan bukanlah sesuatu yang mustahil, ini kerana rangkaian pengedaran daripada sumbernya di kuasai oleh mereka yang telah bertapak di Plaza Low Yat sekian lama. Jika KPDNKK benar-benar serius, usaha mendapatkan produk haruslah bermula dari sumbernya dan tidak bergantung kepada orang tengah sahaja.  Hal ini boleh direalisasikan dengan kerjasama di semua peringkat bersama Kementerian lain misalnya Kementerian Perindustrian Antarabangsa (MITI).

Selepas hampir suku abad kewujudan Plaza Imbi dan kemudiannya Plaza Low Yat serta selepas insiden pemuda Melayu mencetuskan pertembungan kaum, maka KPDNKK mula memikirkan alternatif untuk Plaza Low Yat.  Selain mewujudkan alternatif untuk Plaza Low Yat rasanya KPDNKK juga harus berterusan memastikan tiada barangan tiruan dijual di situ atau di mana-mana sekalipun.

Harapannya kewujudan ala-ala Plaza Low Yat di Medan MARA tidak hanya hangat-hangat tahi ayam tetapi harus mampu bertahan biarpun Menteri silih bertukar ganti!


Mungkin selepas suku abad nanti, kisah sebenar rusuhan di Plaza Low Yat akan diketahui oleh rakyat Malaysia.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
niat kena betul..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?