DEGAR SEKOLAH SATU ALIRAN

Dongeng sekolah satu aliran bukanlah cerita baru.   Seperti usaha transformasi pendidikan, kisah sekolah satu aliran juga adalah sesuatu yang sudah basi.  Menteri bertukar, nama kementerian juga diubah dan dan diubah semula.  Namun usaha mengwujudkan sekolah satu aliran masih tinggal sebagai mimpi sahaja.

Tidak pasti apakah agenda sebenar pihak-pihak yang mahukan sekolah satu aliran.  Sebahagian daripada mereka mengucapkan mantera perpaduan dan sekolah satu aliran adalah ubat yang paling mustajab khabarnya.

Setelah puluhan tahun kita merdeka dan sekolah aliran Cina dan Tamil bercambah seadanya, tiba-tiba sahaja gendang sekolah satu aliran dipalu.  Tidak pasti apakah sebenarnya yang dimahukan dengan adanya sekolah satu aliran. 

Sekolah aliran Cina adalah begitu terkehadapan dengan pengurusan oleh lembaga pengelola yang komited untuk memajukan pendidikan dalam kalangan komuniti mereka.

Dalam situasi yang berbeza, sekolah aliran Tamil pula tidaklah segah sekolah aliran Cina namun ia masih mampu membuahkan hasil yang memuaskan dengan pertambahan bilangan professional dalam kalangan masyarakat India.

Walaupun sekolah kebangsaan adalah tumpuan oleh kerajaan yang lazimnya dihadiri oleh majoriti murid di negara ini, namun pencapaian mereka agak setanding dengan sekolah aliran Cina dan Tamil yang berkategorikan sekolah yang mendapat bantuan terhad daripada kerajaan.

Terbaru adalah gesaan daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah yang mahukan sekolah satu aliran difikirkan secara serius.

Perpaduan nasional dapat dicapai dengan penubuhan sekolah satu aliran adalah mitos dan dongeng semata-mata.  Tiada satu kajian yang menjurus dan menyokong fakta ini.  Kesemuanya hanyalah andaian sahaja.

Adakah kaum Cina dan India di negara ini mahu dinafikan bagaimana mereka memastikan anak-anak mereka mempelajari bahasa Ibunda mereka.  Bukankah lulus Bahasa Melayu adalah syarat wajib peperiksaan umum seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mitos bahawa hanya sekolah satu aliran sahaja mampu membentuk perpaduan nasional perlulah dihentikan.

Dalam aspirasi Perdana Menteri dan gagasan 1Malaysianya, tentulah saranan untuk mewujudkan sekolah satu aliran adalah sesuatu yang paling akhir dimahukan oleh kaum Cina dan India di negara kita. 

Tidakkah pihak-pihak intelektual seperti Majlis Profesor Negara dan agensi seperti Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi memikirkan aspek-aspek lain yang boleh memupuk dan meningkatkan perpaduan nasional dan integrasi kaum selain menghapuskan sekolah aliran Cina dan Tamil.


Maaf, saranan untuk sekolah satu aliran bukanlah bermakna mahu menghapuskan sekolah vernakular di Malaysia.  Ia hanya untuk memupuk perpaduan yang kini disifatkan goyah terutama dalam kalangan generasi muda.  

Selamat bermitos!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
eloklah diskong kalau tak org politik kehabisan modal..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?