NAMA BARU, TUAH BARU!

Ketika zaman kanak-kanak, ada beberapa sahabat saya yang selepas beberapa ketika nama mereka diubah (walaupun tiada perubahan dalam sijil kelahiran mereka).  Malah mengikut kepercayaan orang-orang Melayu, perubahan nama sering dikaitkan dengan aspek penyembuhan daripada sesuatu penyakit.

Sama ada kepercayaan ini benar atau sekadar mitos, tidak pernah dikaji secara klinikal, namun selepas perubahan nama, sahabat saya beransur pulih daripada sakitnya.  Walaupun dalam urusan rasmi dia menggunakan nama dalam sijil kelahirannya, namun nama yang diubah lebih dikenali.  Malah selepas dua dekad, ketika saya bertanyakan nama betulnya kepada orang di kampungnya, tiada siapa yang dapat mengingati kecuali apabila dinyatakan nama ‘baru’nya!

Selepas dua insiden melibatkan pesawat MAS, kesihatan syarikat penerbangan nasional itu agak tenat.  Tambahan pula, sebelum itu pun prestasi MAS tidak begitu memberangsangkan.  Apabila Khazanah Nasional mengumumkan pelan penstrukturan MAS yang melibatkan dana berjumlah RM6 billion, ramai mencemuh dengan sinis.

Pelan ini bakal meliputi pemilikan saham, rombakan pasukan pengurusan dan proses mengurangkan bilangan kakitangan ke tahap optimum.  MAS sebagai syarikat penerbangan nasional merupakan sebahagian daripada sejarah negara, selain maruah negara di mata dunia.

Bagaimana MAS sebagai sebuah entiti perniagaan mengalami kerugian atau mengapa Khazanah Nasional terlibat sebagai ‘hero’ menyelamatkan MAS adalah tidak wajar dibincangkan pada masa ini.  Tumpuan haruslah kepada usaha menyelamatkan MAS untuk terus menjulang maruah  Malaysia di awan biru.

Dua insiden dalam tempoh kurang tiga bulan membabitkan MAS juga harus dilihat dengan mata hati sebagai satu ujian Allah SWT.  Memanglah mudah untuk mengucapkannya, namun seperti kata pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’ usaha oleh Khazanah Nasional harus disokong oleh semua rakyat Malaysia di mana jua.

Seperti juga kepercayaan orang-orang Melayu bahawa mengubah nama akan memberikan kelegaan kepada seseorang, maka MAS juga harus mengubah namanya.  Mungkin nama MAS yang digunapakai sejak April 1971 telah agak  ‘berat’ dan tidak lagi serasi.

Khazanah Nasional sebagai ‘hero’ penyelamat sepatutnya melibatkan pemilihan nama baru MAS kepada nama yang lain sebagai satu daripada laras penjenamaan semula syarikat penerbangan nasional itu.

Jika dahulu MAS dikenali sebagai Malayan Airways, maka perubahan nama MAS sekarang kepada nama yang lain harus juga menjadi salah satu agenda pemulihan MAS di tangan Khazanah Nasional.

Mungkin pada setengah orang perubahan nama adalah perkara yang remeh, namun telah banyak contoh penjenamaan semula yang berjaya melibatkan perubahan nama, apatah lagi dengan sokongan padu kerajaan sendiri.


Seperti sahabat-sahabat saya yang pulih dan lega daripada penyakit selepas mengubah nama mereka, maka tidak mustahil sebuah entiti nasional seperti MAS juga harus berpaut teguh pada akarnya.
Share this article :
 

+ komen + 1 komen

Tanpa Nama
19 September 2014 8:16 PTG

insyallah...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger