LEMBU PUNYA SUSU, SAPI DAPAT NAMA!
Cerita
lembu dan sapi bukanlah cerita yang baru.
Tidak pernah kita dapat membeli minyak ‘lembu’ tetapi yang diperolehi
adalah minyak ‘sapi’. Walaupun minyak
sapi dihasilkan daripada susu lembu, namun kredit kepada lembu bukan sahaja
tidak ada, malah dinafikan pada aspek komersilnya.
Sabtu
lalu, telah berlangsung upacara perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang. Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang diberi nama sempena DYMM Yang DiPertuan
Agong telah mula digunakan dan dibuka untuk manfaat rakyat.
Kisah
pembinaan jambatan kedua di Pulau Pinang pertama kali disuarakan pada tahun
1992, kemudiannya dirancang pada tahun 1996 namun ia hanya mula dibina pada
tahun 2008, ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri, lagipun Pulau Pinang adalah
negeri kelahiran Perdana Menteri ketika itu, maka tentulah sebagai Perdana
Menteri, Pak Lah mahu jambatan kedua menjadi realiti.
Jambatan
Pulau Pinang yang pertama dibina pada tahun 1982, ketika Dr. Mahathir menjadi
Perdana Menteri, dan selepas lebih tiga dekad dan pertambahan kenderaan yang
menggunakan jambatan tersebut dan cerita kesesakan di atas jambatan seolah-olah
menjadi satu rutin. Maka sebab itulah
usaha merealisasikan pembinaan jambatan kedua dilaksanakan, ketika itu Pulau
Pinang diketuai oleh Tan Sri Koh Tsu Koon sebagai Ketua Menterinya.
Itu
kisah pra pembinaan jambatan Pulau Pinang pada tahun 2006, selepas beberapa
ketika pembinaannya dimulakan pada tahun 2008 dan selepas tsunami pilihanraya
pada Mac 2008, pemerintahan Pulau Pinang beralih daripada Gerakan BN kepada DAP
Pakatan Rakyat.
Akhirnya
selepas dua kali Pilihanraya Umum dan usaha merebut Pulau Pinang daripada
pembangkang gagal, jambatan kedua Pulau Pinang siap sepenuhnya dan dibuka
secara rasmi pada 1 Mac 2014 yang lalu.
Ironinya,
jambatan kedua dibina bermula dari Batu Kawan yang merupakan kawasan yang
diwakili oleh Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang. Tentulah visi dan wawasan beliau sebagai
Ketua Menteri terkandas selepas peralihan pemerintahan negeri kepada DAP.
Walaupun
Perdana Menteri dalam ucapannya menyebut bahawa “…inilah semangat yang perlu
kita pupuk, perlu ada cita-cita besar kepada Malaysia. Oleh itu adalah penting walau apa pun fahaman
politik kita, kita perlu utamakan pembangunan negara”.
Sebagai
seorang pemimpin tentulah beliau merasa terkilan kerana usaha merampas kembali
Pulau Pinang dari pembangkang gagal pada PRU 13 yang lalu, namun demi manfaat
rakyat dan negara rasa terkilan ini haruslah diketepikan.
Jambatan
Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang panjangnya 24 km keseluruhannya dan 16.9
km terhampar di atas air adalah yang terpanjang di Asia Tenggara. Diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir,
direalisasikan oleh Tun Abdullah Badawi dan akhirnya sehingga kini diwarisi
oleh Lim Guan Eng.
Jika
Negeri Selangor terpaksa membelanjakan lebih RM9 billion ringgit untuk
mengambilalih konsesi air di negeri itu, nampaknya Kerajaan Pulau Pinang DAP
lebih beruntung kerana pembinaan Jambatan Kedua yang akan menjadi satu lagi
ikon dan pemangkin ekonomi negeri dilaksanakan tanpa perlu mengeluarkan modal.
Betullah
kadang-kadang lembu perlu berkorban untuk sapi mendapat namanya!
Ulasan