APA SELEPAS BERSALAH ANWAR?

Akhirnya Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum Pakatan Rakyat didapati bersalah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya yang tidak lari ketika cuba diliwat.

Berita disabitkan kesalahan dan dihukum penjara selama lima tahun bukanlah satu berita yang memeranjatkan.  Ini kerana kerajaan BN memang berhasrat untuk menegakkan keadilan demi mangsa liwat yang teraniya kerana tidak melarikan diri ketika cubaan meliwat.

Kita sepatutnya merasa bangga kerana kesungguhan kerajaan BN memastikan bahawa mereka yang bersalah akan menerima hukuman setimpalnya.  Namun apabila tiada siapa pun ‘terdakwa’ dalam kes PKFZ yang bernilai berbillion ringgit, mungkin kita terpaksa juga menerima hakikat bahawa sistem kehakiman di Malaysia adalah yang terbaik di rantau ini.

Rakyat Malaysia yang cintakan keadilan gaya kerajaan BN khususnya para pengundi di Kajang sepatutnya berterima kasih dan bersyukur dengan usaha kerajaan BN melewatkan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam Pilihanraya Kecil N25 Kajang.  Ini kerana jika tidak sudah tentu akan berlaku pilihanraya kecil dalam tempoh yang singkat jika selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi wakil rakyat, terpaksa pula mengosongkan kerusinya kerana didapati bersalah.

Dengan keputusan pada hari Jumaat yang lalu, tentulah telah membantutkan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon pada PRK N25 Kajang nanti.  Jika rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan tidak berjaya, maka beliau akan sekali lagi menjadi penghuni di penjara Sungai Buloh.

Kegagalan rayuan ini juga akan menyebabkan satu lagi pilihanraya kecil terpaksa diadakan, kali ini di Parlimen Permatang Pauh.

Jika benar Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjalani hukuman penjara selama 5 tahun yang disifatkan oleh ‘masih berperikemanusiaan’ oleh Presiden Perkasa, maka hukumannya akan berakhir hampir dengan kehadiran Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2017 atau 2018.

Mendiang Nelson Mandela yang meninggal dunia pada 5 Disember 2013 menjadi Presiden Afrika Selatan ketika usianya adalah 76 tahun, maka tidak mustahil jika ketentuan Allah SWT yang mengizinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai cita-citanya, ini kerana lima tahun akan datang usianya hanyalah 72 tahun.

Benarlah lanskap politik Malaysia berubah sama sekali selepas isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.  Sedekad selepas itu, tsunami politik melanda Malaysia pada Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, apabila pembangkang berjaya menawan Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang di samping mengekalkan Kelantan.

Walaupun bilangan negeri yang dimenangi oleh pembangkang berkurangan pada PRU ke-13, namun prestasi BN adalah lebih teruk daripada ketika PRU ke-12 malah gagal merebut kembali negeri-nergeri seperti Pulau Pinang dan Selangor sungguhpun pelbagai usaha dilakukan khususnya di Selangor melalui kempen Sayangi Selangor, Yakini BN.

Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah tokoh yang boleh dibanggakan moralnya, jika diambilkira hukuman yang dilaksanakan oleh mahkahmah baru-baru ini, namun umum tahu, apa sebenarnya agenda di sebalik Kes Liwat II.

Usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai negeri Selangor memang dianggap berjaya setakat ini, namun seperti kata pembangkang bahawa isu Menteri Besar Selangor bukanlah persoalan yang sebenarnya, tetapi ia juga seperti agenda kecil dalam agenda yang lebih besar. 

Mungkinkah BN akan memenangi kerusi N25 Kajang dalam Pilihanraya Kecil nanti, semuanya kini seperti terhenti dengan insiden kehilangan pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 orang anak kapal.  Saya tidak mahu berdoa untuk yang lain pada ketika ini kecuali untuk MH370!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
apa lgi bungkus la dsai...lagi mahu tanya..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?