CERITA AYAM RM1 & MENTERI KE PASAR

Memang seronok tinggal di Malaysia, ketika kita sedang berduka dengan kehilangan misteri pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 orang anak kapal, kita dihiburkan oleh Perdana Menteri yang membeli ayam dengan harga RM1.

Bukanlah niat saya mempersendakan Perdana Menteri, namun laporan Perdana Menteri membeli ayam dengan harga RM1 sebenarnya adalah penawar duka ketika kita sedang berhiba dengan kehilangan pesawat MH370.

Tidak pasti apa motifnya, namun Perdana Menteri yang melawat NSK Trade City di Kuchai Lama bagi majlis pelancaran Anugerah Kedai Harga Patut 2014 dikhabarkan berjaya membeli seekor ayam dengan harga RM1.  Khabarnya disediakan sebanyak 1000 ekor ayam.

Saya tidak begitu pasti sama ada Perdana Menteri dibodohkan atau sengaja membodohkan diri untuk mempercayai bahawa ayam yang dibelinya hanya berharga RM1.

Jikapun saya yang menjadi peniaga, dan Perdana Menteri berhasrat untuk melakukan majlis di premis saya, tentulah saya juga akan menawarkan sesuatu pada harga yang luar biasa murah seperti yang dilakukan oleh pengurusan NSK Trade City. 

Apa tidaknya, ia sebenarnya adalah jauh lebih baik daripada membelanjakan sejumlah wang untuk tujuan pengiklanan. 

Jika harga purata seekor ayam adalah pada harga RM12 (anggaran 1.5 kg), maka NSK Trade City hanya membelanjakan RM14,000 bagi membolehkan Perdana Menteri berada di premis mereka selama hampir 2 jam! 

Kos membawa para jemputan juga dapat dikurangkan, kerana tawaran luar biasa oleh NSK Trade City kepada para pelanggan yang menyertai majlis pelancaran seperti hari ini.

Namun apa yang tidak diketahui oleh Perdana Menteri bahawa harga di NSK Trade City memang jauh lebih rendah secara purata berbanding sebuah lagi pasaraya besar yang menerajui peruncitan negara dengan slogan ‘mengapa bayar lebih’.

Kisah kenaikan harga barang yang dirasai oleh rakyat tidak boleh selesai dengan gimik ayam RM1 yang dibeli Perdana Menteri ketika majlis pelancaran kerana realiti di luar tidak sama dengan yang dialami oleh Perdana Menteri mahupun Menteri yang berkenaan. 

Apakah wajar jika seorang yang berada di satu lokasi lain terpaksa pergi ke lokasi yang lain hanya kerana untuk mendapatkan pengurangan harga bagi sejumlah barang.  Apakah sudah diambil kira kos pengangkutan, tol dan lain-lain kos melepas.

Beberapa bulan lalu, seorang Menteri kabinet yang bergelar Senator yang diangkat daripada sektor perbankan menguar-uarkan bagaimana beliau terpaksa ke pasar Dengkil daripada kediamannya di Putrajaya hanya kerana mahu mendapatkan barangan pada harga yang lebih rendah daripada tempatnya di Putrajaya.

Sama ada disedari atau tidak si Menteri ini sebenarnya telahpun memberi gambaran bagaimana rakyat jelata seperti anda dan saya sebenarnya bergelut dengan kenaikan harga barang di lokaliti masing-masing.  

Jika anda membawa RM100.00 pada hari ini, sebenarnya anda hanya pulang dengan menjinjit 2 atau 3 beg plastik sendirian tanpa perlu bantuan, lainlah jika RM100 dihabiskan untuk membeli kangkung sahaja!


Seperti kata Perdana Menteri “jangan mengadu harga barang naik, kerana kamu mempunyai pilihan”.

Ulasan

SIS berkata…
realiti sekarang RM50 boleh beli purata 5 brg je...bayangkan ikan kembong saiz sederhana RM10 hanya dpt 4@5 ekor sahaja...bagaimana nak menjadi negara berpendapatan tinggi jika kos hidup juga bertambah tinggi...berpendapatan tinggi tp hidup miskin??..leh ke jd camtu...
Tanpa Nama berkata…
hari ini ada lagi kot ..kena tanya piem la..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?