APA LAGI YANG TINGGAL?

Tahniah kepada pasukan polis kerana berjaya menjejak dan mengesan suspek yang menembak mati seorang pegawai bank dalam kejadian rompak dan bunuh pada 23 Oktober lepas.

Biarpun selepas lebih dua minggu, mungkin ramai yang tidak sedar bagaimana pihak polis dan risikan melakukan kerja mereka sehingga suspek utama dapat ditahan.  Cerita menggunakan MyKad palsu untuk bekerja di syarikat kawalan keselamatan adalah sesuatu yang mengejutkan.

Apa tidaknya, teknologi yang digunapakai dalam MyKad yang diuar-uarkan antara yang tercanggih di dunia nampaknya sekadar cakap-cakap kerana ianya juga berjaya dipalsukan. 

Anehnya, syarikat kawalan keselamatan seakan lebih cenderung untuk memperolehi kontrak daripada memastikan para petugas dan pengawal keselamatan mereka benar-benar telah melepasi proses saringan oleh pihak polis.  Ataupun adakah proses saringan pihak polis telah tidak lagi dipraktikkan?

Beberapa ketika selepas kes bunuh dan rompak pada 23 Oktober, satu lagi insiden membabitkan rompakan oleh seorang pengawal keselamatan di Setapak yang bertindak menyamun dulang emas berisi lebih 100 utas rantai.  Sungguhpun kedua-dua kes ini berjaya diselesaikan oleh polis, namun persoalan yang lebih adalah bagaimana pula sitiuasi pengawal keselamatan di premis sekolah-sekolah?

Pengawal keselamatan yang digaji dengan menggunakan MyKad palsu di samping penggajian pendatang asing tanpa izin sebagai pengawal keselamatan haruslah ditangani secara serius, ini kerana tugas pengawal keselamatan adalah seperti pihak polis yang diberi amanah untuk memberikan kawalan di samping menjadi pelindung dan mata kepada orang awam.

Anehnya di tengah meningkatnya keyakinan orang awam kepada pihak polis berikutan pengenalan pelbagai kaedah yang diperkenalkan oleh pihak polis untuk mengurangkan kadar jenayah, lain pula ceritanya dengan aplikasi MyDistress.

Khabarnya aplikasi dalam telefon pintar ini yang dibangunkan oleh Polis Selangor sejak beberapa tahun ini telah diberhentikan melalui notis dalam laman sosial facebook baru-baru ini.

Sebab penamatan dan jangkamasa diberhentikan juga kurang jelas kerana tiada butiran yang diberikan.  Aplikasi MyDistress yang membantu orang awam dan pengguna telefon pintar menghubungi pusat khidmat polis dengan satu butang adalah sesuatu yang amat berkesan.  Saya sendiri pernah menggunakan aplikasi ini ketika berhadapan dengan ‘pembuli jalan’.

Rasional penamatan dan butiran lanjut mengenai MyDistress haruslah dimaklumkan bagi mengelakkan salah faham di kalangan lebih 200,000 pengguna sedia ada aplikasi MyDistress. Dalam situasi seperti sekarang yang dicanang oleh pelbagai pihak seperti tidak selamat, dengan merujuk kes penculikan kanak-kanak 20 bulan dari dalam rumah baru-baru ini, rasa aplikasi seperti MyDistress adalah bukan lagi satu keistimewaan tetapi satu KEPERLUAN.


Jika pengawal keselamatan pun diragui dan aplikasi bantuan seperti MyDistress digantung perkhidmatannya, apa lagi yang tinggal?

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
yg tinggal ameno..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?