KERJA TUHAN ...

Saya jarang mahu memperkatakan tentang diri saya. Ini kerana tidak ada banyak yang boleh diperkatakan pun. Satu lagi ialah kerana saya tidak mahu mencanang diri, meminjam kata SN/SR A. Samad Said – canang peribadi canang angkuh, itulah yang sebenarnya mahu saya elakkan. Pada pertengahan minggu ini ketika menemani Pak Samad yang tiba-tiba menjadi begitu dikenali oleh orang di luar lingkungan sastera dan budaya kerana peristiwa beliau menjadi tetamu pihak polis.

Kisah bagaimana Pak Samad menjadi tetamu pihak polis pada 27 Jun yang lalu dan kemudiannya pihak Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) mengadakan sidang akhbar di pentas aktiviti Pesta Buku Selangor 2011 yang sedang berlangsung sehingga Ahad nanti, menjadi begitu mengharukan. Pak Samad dipanggil oleh pihak polis kerana membacakan sajak Unggun Bersih (yang dilabel oleh polis sebagai menghasut).

Ironinya sajak Unggun Bersih mengungkapkan kisah Parti Teh Boston yang dirakam sejarahnya pada tahun 1773. Sambil menikmati minum petang, Pak Samad rancak bercerita mengenai Sam Adam dan Parti Teh Boston yang terkenal itu. Sekembali dari pertemuan itu, saya juga sempat menukilkan secara ringkas sebagai satu entri dalam blog ini. Cerita teh dicurah ke laut biru, dan kesan peristiwa Parti Teh Boston berbaur dalam kotak fikiran saya sepanjang malam.

Esoknya, pada pagi Khamis – saya menerima panggilan daripada seorang teman saya yang merupakan Pengarah Kreatif sebuah agensi pengiklanan, secara ringkas teman saya itu memohon bantuan saya memberikan jenama baru bagi sebuah produk teh yang dipunyai oleh pelanggannya. Saya hampir terkedu dan seketika terfikir kebesaran Allah SWT yang menghantar isyarat yang mungkin saya anggap kebetulan sahaja, tetapi ketentuan Ilahi siapa bisa menduganya.

Ini bukanlah kali pertama, saya dihantar isyarat-isyarat seperti ini, beberapa tahun lepas pada satu ketika saya diajak oleh seorang teman untuk menemaninya kerana sesuatu urusan peribadi dan menemui kenalannya. Kerana perjalanan seperti ini bukanlah baru bagi saya, maka saya pun menyetujui pelawaan untuk menemaninya kerana ia hanyalah perjalanan tanpa bermalam. Saya juga tidak bertanya tentang destinasi tujuannya sehinggalah kami sampai di Kangar. Selepas beberapa jam perjalanan, seusai saya bersolat di Masjid Negeri di Kangar, saya teringat pesanan ringkas kepada seorang teman sehari sebelumnya mengatakan bahawa saya akan ke Kangar pada hari esoknya.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah apabila kenalan teman yang kami kunjungi di Kangar juga percaya bahawa saya telah beberapa hari sebelumnya ‘tahu’ saya akan ke Kangar. Betullah kata bijak pandai – takdir selalu mengatasi tadbir. Siapa yang lebih Maha Mengetahui selain Allah SWT.

Sama ada kisah teh mahupun perjalanan tidak dirancang, semuanya membuat saya cukup yakin dengan singkapan rahsia Allah SWT terhadap hamba-hambaNya. Meminjam kata Pak Arif dalam novel Langit Petang, karya SN/SR A. Samad Said – Ya Tuhan, terlalu banyak yang kau beri, terlalu sedikit yang kubalas!

Share this article :
 

+ komen + 3 komen

ct
1 Julai 2011 3:17 PTG

Allah maha mengetahui ...

sani
1 Julai 2011 11:03 PTG

mgkin tuan ada deria keenam kot...

5 Julai 2011 1:52 PTG

kata seorang teman kita ada 'chemistry'..kebetulan..Allah dah rancang untuk kita...rasanya tiada apa pun yang kita dah balas...hata senafas yang kita sedut pun tak terbalas....

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger