CATATAN KANJI ARAB …



Hari ini saya sekali lagi ke Pulau Lagenda Langkawi dalam tempoh dua minggu. Semua ini rahmat dari urusan kerja dan tugas yang diamanahkan kepada saya. Sekitar jam 1.30 petang, teman saya celikhuruf - http://www.celikhuruf.blogspot.com/ memaklumkan dia berada di Changkat Jering menikmati makan tengahari dan akan menyelusur mengikut jalan persekutuan menuju ke Bayan Lepas dalam Ekspedisi Bermotor Merdeka yang disertai lebih 100 buah motosikal kuasa besar dari jenama Kawasaki.

Mengikut perencanaannya kami patut tiba di jeti Kuala Kedah selewat-lewatnya jam 6.00petang bagi memastikan dapat menaiki feri terakhir pada jam 6.30 petang, tetapi seperti kata ‘takdir selalu mengatasi tadbir’, saya hanya tersenyum apabila teman saya si celikhuruf mengatakan bahawa dia menggunakan jalan persekutuan dan bukannya lebuhraya kerana sangka saya akan menjadi lebih lewat kerana harus sampai ke jeti sebelum pukul 6.00 petang.

Selepas berhenti pada jam lebih kurang 2.45 petang di kawasan R & R Sungai Perak untuk mengisi perut dan solat, dan sewaktu ingin memulakan perjalanan saya mula perasan bahawa kereta yang saya naiki seolah diserang H1N1 kerana suhunya semakin meningkat dari satu takah ke satu takah. Saya dan rakan-rakan mula sedar bahawa kenderaan kami sedang mengalami masalah dan mula beransur ke tepi untuk memastikan bahawa kenderaan ini harus diberhentikan serta merta.

Keluar di Changkat Jering dan kami mengambil keputusan untuk menikmati minum petang dengan harapan suhu kenderaan dapat dikurangkan, sambil menikmati teh dan pelbagai juadah kuih-kuih tempatan di Pasar Sabtu Changkat Jering yang amat mengujakan.

Seusai solat maghrib di Surau Taman Menteri dengan bilangan saf yang tidak sampai 10 orang, kami berhasrat untuk ke Kuala Sepetang kerana tergoda dengan Mee Udang yang menurut kawan saya : selak udang nampak mee kerana mewah udangnya berbanding mee!

Menyelusuri Jalan Kuala Kangsar untuk ke Kuala Sepetang akhirnya kami sepakat membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasrat ke Kuala Sepetang kerana bimbang masalah kepanasan kenderaan yang melampau, akhirnya kami membuat keputusan untuk singgah di mana-mana gerai makan yang ada menu Mee Udang dan membiarkan rezeki kepada si pemilik gerai. Selepas beberapa ketika kami singgah di Restoran Kanji Arab kerana selain dari tarikan mee udangnya, seperkara lagi yang menggamit naluri ingin tahu kami ialah Kanji Arabnya.

Ironinya teman saya si celikhuruf singgah di Kanji Arab dan ditakdirkan kami juga singgah di kedai yang sama dengan membiarkan ‘kerja Tuhan’ untuk menentukan pilihannya dan selepas bergelas-gelas air minuman sehingga hampir jam 2 pagi, akhirnya si pelayan kedai memaklumkan bahawa kedainya tadi menjadi persinggahan lebih 100 motosikal berkuasa besar yang sudah tentu termasuk si celik huruf!

Memanglah betul seperti kata ‘takdir selalu mengatasi tadbir’ – kita hanya mampu merancang, Allah SWT yang menentukan.

Ulasan

ustazah berkata…
Salam tuan, kerja tuhan tiada siapa dapat menduga, seronok perjalanan tuan ke Langkawi pada kali ini..moga dilimpahi pengalaman yang manis selalu..
anep berkata…
betul tuan rahsia Allah SWT tiada siapa yang tahu..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?