MALAM SEBUTIR BINTANG DALAM KENANGAN - USMAN AWANG
Usaha ITNM mempelopori penghargaan kepada para Sasterawan Negara amat dihargai tetapi soalnya kenapa ITNM? dan bukan Dewan Bahasa dan Pustaka, jawabnya menurut Sdr. Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan ITNM, ialah kerana ITNM telah mengambil inisiatif untuk menterjemahkan dua judul besar SN Datuk Usman Awang iaitu Tulang-tulang Berserakan (Scattered Bones) dan Jiwa Hamba (Enslaved Soul), walau apa pun usaha ITNM menganjurkan majlis semacam itu amatlah wajar dan dihargai.
SN Datuk Usman Awang yang terkenal kerana kelembutan peribadi dan kehalusan seninya, memang sentiasa segar dalam aspek memperkaya bahasa, mengindah sastera selain memastikan ianya memanfaatkan bangsanya, lihat saja puisi-puisinya:
tapi manusia kota ini telah membunuh KEHIJAUAN alam
semata-mata untuk mengejar KEHIJAUAN ringgit
sejak lumpur kota ini menjadi batu-bata
kami masyarakat burung menjadi mangsa yang bisu
mendiang burung belatuk menjadi korban punggur rebah
burung merbuk telah ditipu dengan Padang Merbuk
sedang mereka dipenjarakan di tempat yang tuan namakan sangkar
(Surat Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar: 1979)
SN Datuk Usman Awang seawal tahun 1959 telah menulis mengenai keperitan hidup golongan miskin, namun selepas 50 tahun, puisi ini masih menyentap dan relevan dengan getir hidup hari ini.
di kota pemimpin berteriak-teriak
pilihanraya dan kemerdekaan rakyat
seribu kemakmuran dalam negara berdaulat
jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat
ketika kemenangan bersinar gemilang
pemimpin atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka
ah, rakyat tercinta melambaikan tangan mereka.
(Pak Utih: 1959)
Sesungguh SN Datuk Usman Awang, sasterawan yang mampu meruntun denyut nadi pelbagai lapisan masyarakat, nama besar dalam dunia sastera dan mengingati pemergian adalah menjadi tanggungjawab kita semua. Tahniah dan syabas kepada ITNM kerana mengambil langkah proaktif ini!
Ulasan