MH370 SELEPAS 8,760 JAM …

Imbas kembali pada 8 Mac 2014.  Betul, ketika dikhabarkan oleh seorang kenalan, saya beranggapan bahawa itu adalah gurau paginya, tambahan pula kenalan saya selalu sahaja menghantar berita-berita separa mengarut sebelum ini.

Namun apabila menonton di kaca televisyen apatah lagi hari keesokkannya adalah hari Ahad.  Terpaku dan terkedu malah seperti tidak percaya pesawat milik syarikat penerbangan nasional benar-benar hilang dari kesanan radar.

Ketika itu, portfolio Menteri Pengangkutan dipangku oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn yang memangku sehingga MCA menyelesaikan kemelut mereka.

Sejak kehilangannya pada 8 Mac 2014 yang lalu, tiada sebarang petunjuk yang konkrit mengenai nasib kesemua warga MH370.  Apa yang lebih menyedihkan adalah curahan pelbagai spekulasi yang tidak berkesudahan tanpa memikirkan perasaan keluarga mangsa yang terlibat.

Misteri kehilangan MH370 belum lagi terjawab sehingga kini, ramai yang mendakwa itu dan ini, namun hakikatnya adalah sehingga kini tiada siapa yang benar-benar mengetahui apa yang telah terjadi kepada MH370.

Selain kehilangan pesawat milik syarikat penerbangan nasional, misteri mengenai kargo yang dibawa serta kandungan perbualan akhir juga masih belum benar-benar terjawab. 

Memang tidak dapat dinafikan, bahawa pengurusan krisis ketika mengendalikan kehilangan pesawat MH370 tidaklah begitu lancar, maklumat yang diberikan pada setiap sidang akhbar bukanlah maklumat yang benar-benar dapat memberikan input kepada media mahupun keluarga mangsa.  Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana ini adalah kali pertama seluruh rakyat Malaysia mengalami suatu musibah yang bukan kecil.

Selepas setahun nasib kesemua 227 penumpang dan 12 orang anak kapal masih tidak pasti walaupun Kerajaan Malaysia telah membuat pengumuman rasmi bahawa pesawat MH370 telah diisytiharkan sebagai kemalangan.  Pengisytiharan itu dibuat mengikut Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa yang juga dikenali sebagai Konvensyen Chicago.

Walaupun telah diisytiharkan kemalangan misi mencari yang dimulakan sebaik sahaja pesawat tersebut dilapor hilang masih tetap diteruskan.  Lebih 26 negara menawarkan pelbagai bantuan dan penggunaan aset mereka dalam misi pencarian pesawat MH370 ini.

Secara peribadi seperti juga keluarga mangsa yang masih menaruh harapan agar pesawat MH370 dapat ditemukan kembali, saya masih berperasaan bahawa pesawat dan seluruh warganya masih ada dan menanti untuk ditemukan semula dengan kaum keluarga mereka. Pedulilah jika pun harus melabel saya sebagai terlalu obsess, namun seperti yang saya tegaskan itu adalah pandangan peribadi.

Walauapapun kepada kaum keluarga mangsa kehilangan pesawat MH370, kehidupan mesti diteruskan.  Moga akan ada penemuan-penemuan yang boleh menggembirakan seluruh rakyat Malaysia dan dunia khususnya kaum keluarga mangsa pesawat MH370.

Ironinya ada pihak-pihak diluar Kerajaan yang berpendapat bahawa kerajaan cuba menyorokkan sesuatu, namun sehingga kini daripada berada di luar sehingga ke dalam, sosok yang mendakwa kerajaan menyorokkan sesuatu maklumat masih tidak memberitahu apa yang disorokkan oleh kerajaan.  Mungkin agaknya sosok ini berpendapat ianya hanya akan dimaklumkan jika menduduki kerusi Perdana Menteri seperti yang diidamkannya. 


Rakyat Malaysia dan dunia boleh menilai sendiri!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?