PEMIDANG MENGHINA, SIAPA ANJINGNYA?

Insiden paparan kain pemidang yang menghina kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika berlangsungnya Piala Sumbangsih di antara Pahang Darulmakmur dan Johor Darultakzim memang mendukacitakan.

Memang ramai yang mengkritik keras kepimpinan FAM sebelum ini termasuk saya, namun penghinaan seperti itu, apatah lagi disiar secara langsung dan ditonton oleh ramai rakyat dan peminat bolasepak Malaysia adalah sesuatu yang menghiris hati.

Saya tergamam apabila anak saya yang masih di sekolah rendah bertanyakan mengenai pemidang besar itu, untuk siapa ditujukan dan adakah dibolehkan penggunaan imej anjing oleh orang Melayu Islam.  Terkedu saya sebentar, sukar untuk memberikan penjelasan.

Walaupun dikhabarkan bahawa pihak Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ)  dengan pantas, mengambil tindakan, ramai yang percaya bahawa keberanian peminat bolasepak negeri itu untuk mempamerkan imej anjing dengan tujuan menghina kepimpinan FAM didalangi oleh pihak-pihak tertentu.

Bukanlah rahsia bagaimana PBNJ sering mempertikaikan keputusan FAM termasuk yang terkini adalah keputusan mendenda PBNJ kerana menandatangani kontrak bersama pemain kebangsaan Gary Steven Robbat. 

Dalam kes Gary Steven Robbat, PBNJ didenda RM100,000 dan diberi amaran keras kerana didapati bersalah menandatangani Gary sebelum pemain itu mendapat pelepasan dari FAM.  Apa yang menjadi kemusykilan adalah Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang yang turut menandatangani Gary hanya diberi amaran keras oleh FAM.

Sebelum itu PBNJ juga pernah didenda RM30,000 pada April 2014 ekoran insiden yang berlaku di dalam terowong Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin.

Walaupun Johor Darul Takzim (JDT) menang dalam perlawanan menentang Pahang dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang menjadi perlawanan pembukaan dengan kemenangan 2-0, namun dengan insiden paparan pemidang berimej anjing yang menghina, JDT telah kalah di medan mereka sendiri.

Pihak polis sewajarnya memburu mereka yang bertanggungjawab dan menghadapkan ke muka pengadilan supaya insiden penghinaan seperti itu tidak berulang.  FAM pula seharusnya mengenalpasti semua individu yang terlibat serta mengharamkan mereka menghadiri sebarang perlawanan bolasepak bagi sesuatu tempoh.

Insiden penghinaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan dan dilepaskan begitu sahaja.  PBNJ seharusnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden yang berlaku di halaman mereka.

Janganlah sampai nanti ada pihak-pihak yang mahu memboikot perlawanan di Stadium Tan Sri Hasan Yunos kerana sikap biadap dan tidak professional peminat bolasepak itu yang jelas dipamerkan melalui paparan pemidang berimej anjing.


Walaupun jelas kelihatan pasukan JDT tampak terserlah pada masa ini, harapannya imej PBNJ tidak dicemari oleh tindakan melampau dan biadap segelintir peminatnya sendiri, kerana nila setitik rosak susu sebelangga.

Ulasan

anep berkata…
biadap tahap gaban..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?