LATUK JACKIE CHAN AA!

Ketika saya tinggal di Bandar Baru Seri Petaling sekitar sedekad yang lalu, dikhabarkan bahawa pelakon terkenal Hong Kong memiliki dua blok bangunan kondominium di kawasan tersebut.  Namun berita itu tidak dapat disahihkan.  Ketika itu, saya beranggapan bahawa Malaysia adalah destinasi pilihan pelakon terkenal Hong Kong itu.

Semalam ketika Wilayah Persekutuan menyambut ulangtahunnya yang ke-43 dengan tema Wilayahku Ceria, nama Jackie Chan tiba-tiba meledak kembali.  Saya hampir tersedak apabila dilaporkan bahawa Jackie Chan dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.

Ini bukanlah kali pertama seorang artis luar menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk.  Pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan pernah dianugerah gelaran Datuk pada tahun 2008.  Anugerah ini juga mendapat reaksi sinis rakyat Malaysia apatah lagi golongan seniman di negara ini.

Seperti juga anugerah yang diberikan kepada Shah Rukh Khan pada tahun 2008 yang memaksa Ketua Menteri Melaka mengeluarkan kenyataan mempertahankan gelaran kepada pelakon Bollywood itu.

Khabarnya pelakon Bollywood itu dicadangkan oleh mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.  Mungkin juga Kerajaan Melaka beranggapan jasa Shah Rukh Khan amat besar dalam usaha mempromosi negeri Melaka dalam filem-filemnya.

Mungkin juga anugerah kepada Jackie Chan adalah juga kerana jasa-jasanya dalam usaha mempromosi Kuala Lumpur sebagai destinasi penggambaran filem.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dalam paparan twitternya mempertahankan gelaran kepada Jackie Chan.

“Jacky Chan pelakon yg banyak peminat di Malaysia dan boleh promosi Malaysia khususnya Kuala Lumpur dan memang layak,”

"Banyak yang lupa Police Story yang dibintangi Jackie Chan pengambarannya di Kuala Lumpur filem yang popular,"

Tidak pasti pula siapakah yang mencalonkan Jackie Chan bagi menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk itu.

Rasanya tidak salah kita menghargai orang luar apatah lagi mereka-mereka seperti Shah Rukh Khan dan Jackie Chan, namun menganugerahkan gelaran seperti Datuk adalah keterlaluan.  Mungkin anugerah dalam bentuk yang lain boleh diwujudkan jika kita benar-benar serius mahu menghargai jasa orang luar.

Namun apa yang lebih penting adalah menghargai rakyat tempatan khususnya para penggiat seni di negara kita sebelum memberikan penghargaan kepada orang seni dari luar.
Lihat sahaja bagaimana perlakuan Shah Rukh Khan ketika menerima kunjungan TYT Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob pada tahun 2011.  Shah Rukh Khan dikhabarkan hanya memakai singlet ketika bersalaman dan menerima kunjungan TYT Negeri Melaka.

Mungkin dengan usia mencecah 61 tahun, Jackie Chan adalah lebih matang dan beradab, harapannya gelaran yang dianugerahkan kepadanya akan dihargai dan dibalas sebaiknya.  Semoga gelaran yang diberikan akan memberikan imej yang baik kepada negara. 

Walauapapun, ramai juga yang terkilan, seperti kata pepatah – kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan!


Mungkin selepas ini kita boleh juga menghargai kumpulan K-Pop dengan memberikan anugerah kerana mengejutkan umat Islam di negara ini yang terlena dan leka selama ini.  

Siapa yang sudi mencalonkannya?  Tahniah Latuk Jackie Chan!
Share this article :
 

+ komen + 1 komen

Tanpa Nama
3 Februari 2015 9:16 PG

tahniah latuk !

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger