SELAMAT JALAN MURRABI UMMAH

Tok Guru Nik Aziz yang meninggalkan kita semua semalam bukanlah sosok yang mudah kita temui.  Saya secara peribadi tidak begitu mengenali Allahyarham kecuali sejak beberapa tahun yang lalu apabila menyertai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) di bawah pimpinan Sdr. Dinsman.

Di bawah PAKSI pelbagai program telah digerakkan, namun yang paling menjadi kenangan adalah pementasan teater Abul Asy’ yang diilhamkan sendiri oleh Tok Guru Nik Aziz ketika hayatnya.  Idea asalnya disampaikan sendiri oleh Allahyarham kepada Sdr. Dinsman yang kemudiannya mengolah menjadi sebuah teater yang dipentaskan di sebuah hotel di Kota Bharu pada tahun 2012.

Teater Abu Asy’ mempunyai sejarahnya sendiri apabila menggabungkan pelakon lelaki dan wanita berlakon bersama-sama di sebuah pementasan.  Teater tersebut juga adalah bagi mengenengahkan artis-artis yang berhijrah menyertai parti PAS.  Antaranya adalah pelakon Abby Abadi, penyanyi Aishah, Bob Lokman, Abu Bakar Juah dan Zack Idris.

Allahyarham menontonnya secara khusuk malah boleh memberikan komen-komen secara detail walaupun beliau diganggu oleh mesej-mesej yang disampaikan oleh pegawai-pegawainya.

Kisah pentadbiran beliau di Kelantan cukup diingati khususnya oleh rakyat Kelantan.  Allahyarham menjadi Menteri Besar Kelantan bermula selepas kejayaan PAS memenangi Kelantan pada PRU ke-8 pada tahun 1990.  Beliau terus menjadi Menteri Besar sehingga selesai PRU ke-13 pada tahun 2013.

Selepas pertemuan pertama seusai persembahan teater di sebuah hotel di Kota Bharu, saya lebih kerap terserempak dengan sosok ini.  Antara program yang disertai oleh beliau yang sempat saya hadiri selaku penganjur bersama program adalah sebuah forum mengenai rasuah yang diadakan di Bangunan SUK Selangor.

Tok Guru Nik Aziz seorang yang lembut dan bertutur dengan begitu perlahan sehingga kadang-kadang saya tidak dapat menangkap buah butir percakapannya.

Selepas melepaskan kerusi Menteri Besar pada tahun 2013, Tok Guru Nik Aziz menumpukan usahanya memberikan kuliah agama khususnya di masjid bersebelahan kediamannya. 

Solat berjemaah antara yang dititikberatkan dalam pentadbirannya, saya agak tergamam apabila diwujudkan ruang solat sementara di hotel di mana pementasan teater kami diadakan. 

Sikap sederhana beliau sangat sukar dicontohi, selama menjadi Menteri Besar Kelantan, dikhabarkan beliau sangat bersederhana walaupun menjadi teraju utama sebuah negeri.

Program-program yang berkaitan dengan Tok Guru Nik Aziz sentiasa dilaksanakan oleh PAKSI, malah ada juga yang tidak sempat dilaksanakan kerana kesuntukan masa dan dana.  Malah hasrat kami untuk menziarahi beliau selepas bersara daripada menjadi Menteri Besar juga tidak kesampaian.

Ketika saya diminta untuk menjadi moderator bagi program Bicara Buku - “Tok Guru – Sebuah Biografi Awal” (TGSBA) karya Habibul Izzah Ahmad yang diterbitkan oleh Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), saya menyelami kehidupan awal Tok Guru Nik Aziz, ternyata didikan agama yang diterimanya sejak kecil adalah cerminan kehidupan beliau selama ini.

Allahyarham Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia pada usia 84 tahun pada jam 9.40 malam, selepas kesihatan beliau merosot disebabkan oleh kanser prostat yang dihidapinya. 

Tok Guru Nik Aziz adalah seorang lagenda dalam konteks yang tersendiri, mungkin yang agak terkilan adalah tidak dapat melaksanakan hukum hudud ketika mentadbir negeri Kelantan selama 23 tahun.  Walauapapun, sumbangan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz dalam politik Malaysia khususnya dalam pakatan pembangkang adalah sangat signifikan apabila pandangan beliau selaku sorang pemimpin berpengalaman sentiasa dirujuk oleh banyak pihak.

Tok Guru Nik Aziz juga adalah ikon penyatuan di dalam pakatan pembangkang.  Semoga roh beliau sentiasa dicucuri rahmat dan dilimpahi keampunan Allah SWT.
Selamat Jalan Murrabi Ummahku!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?