APABILA BERPUISI MENJADI TERLALU MAHAL HARGANYA …

Gambar hiasan: Boston Tea Party 1773

Khabarnya Sasterawan Negara/Sasterawan Rakyat Datuk A. Samad Said ditanya polis berapakah bayaran yang diterimanya bagi mendeklamasikan sajaknya ketika pelancaran Himpunan Aman Bersih 2.0, pada 19 Jun yang lalu. Pada 27 Jun yang lalu, SN/SR Datuk A. Samad Said yang lebih akrab dipanggil Pak Samad menjadi tetamu pihak polis kerana dipanggil untuk disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Sasterawan Negara ke-4 itu yang dinobatkan pada tahun 1985 tiba-tiba menjadi buah mulut kerana tindakan pihak polis memanggil beliau untuk disiasat di bawah Akta Hasutan, khabarnya bertolak daripada sajak Unggun Bersih yang dideklamasikan beliau pada majlis tersebut.

Apa yang menarik mengenai sajak Unggun Bersih nukilan Pak Samad khusus untuk majlis tersebut ialah latar yang diambilnya. Unggun Bersih mengungkapkan peristiwa Parti Teh Boston, bagaimana golongan minoriti menentang majoriti dengan tindakan yang diluar jangkaan – mencurahkan teh ke laut, sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan cukai yang dikenakan!

Jika peristiwa Pak Samad diambil sebagai ukuran, pihak polis sepatutnya menerima pujian daripada seniman dan budayawan kerana keprihatinan dan keupayaan mereka menghadam dan menafsir sajak nukilan Pak Samad. Selepas ini mungkin Berita Harian yang terkenal dengan siri Malam Puisi Riongnya boleh menganjurkan bacaan puisi dengan pihak polis, mungkin boleh dibuat di Pulapol ataupun dilaman Bukit Aman. Pihak Berita Harian dan PDRM bolehlah juga mengundang Pak Samad mendeklamasikan puisi Unggun Bersihnya. Saya amat yakin Pak Samad bukanlah orang yang menerima bayaran untuk menyampaikan denyut nadi dan resah rakyat sesuai dengan saranan untuk menggelarkan dirinya sebagai Sasterawan Rakyat.

Ulasan

anep berkata…
salam simpati utk Pak Samad, moga terus tabah dengan kuasawan yang rakus..
sarip dol berkata…
salam tuan, tiada siapa yg mengatasi undang2 negara ...
SIS berkata…
Pak Samad memang bersih...bersih meluahkan apa yang didalam hatinya sebersih2nya..itulah orang seni..orang yang makan cili saja yang terasa pedasnya..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?