PEMANDU TEKSI, RUMAH TERBUKA & LUKA HATI ...

Saya bukanlah jenis orang yang suka formaliti, malah sentiasa menentang protokol dan basa basi tanpa mengorbankan rasa hormat dan penuh apresiasi. Selepas beberapa ketika menyambut lebaran dengan menanti kunjungan teman dan taulan, entah mimpi apa atau lebih tepat kerana ada usaha-usaha luar (pesanan penaja) yang mahukan saya menganjurkan majlis rumah terbuka lebaran secara formal – menjemput teman-teman kerja, teman-teman setaman, niaga, sahabat blogger dan santai.

Kerana kesibukan menguruskan semuanya sebagai hos yang cuba ‘sempurna’ saya terlanggar belakang sebuah teksi di pekan Kajang beberapa jam sebelum berlangsungnya majlis yang dirancang. Menjadi sifat saya untuk tidak menyumbangkan kepada kesesakan lalu lintas yang sedia sesak, saya mencoretkan nombor telefon bimbit dan memberikan kepada si pemandu teksi yang teragak-agak menerimanya (mungkin pernah berpengalaman menerima nombor palsu) dia pun mencatat nombor kereta saya. Saya memintanya menghubungi saya petang nanti kerana saya sibuk dengan urusan saya. Saya akui memang saya bersalah melanggar belakang teksinya kerana leka dengan urusan majlis.

Ketika saya sibuk melayani teman-teman yang datang berkunjung telefon saya berdering, panggilan dari si pemandu teksi yang telah saya terlanggar tadi, saya lantas menjemputnya datang ke rumah saya. Selepas beberapa ketika si pemandu teksi muncul di hadapan rumah saya dan saya serta merta mempersilakan untuk menjamu selera sebelum berbincang mengenai kemalangan kecil tadi. Selesai menjamu selera si pemandu teksi tadi merasa serba salah kerana sangkanya saya cuba menipunya dengan memberikan nombor dan alamat palsu kepadanya.


Walaupun beliau merasa serba salah, saya menyakinkannya bahawa saya memang tidak sengaja terlanggar belakang teksinya, memang saya akui banyak kerosakan kepada teksinya khususnya bahagian belakang, anggaran kasar saya lebih kurang RM300, sangkaan saya tidak meleset kerana itulah angka yang diminta oleh sipemandu teksi, selepas tawar menawar di antara melayan teman yang datang dan deringan telefon yang bertanyakan arah, akhirnya dia bersetuju untuk menerima RM100 sebagai ganti ruginya.

Saya amat yakin jika saya tidak menjemputnya datang ke rumah saya, kemungkinan besar saya harus membayar RM300 sebagai ganti ruginya! Sebenarnya tiada siapa yang tahu luka hati saya kerana majlis itu saya buat sebagai kenangan kepada arwah ayah saya yang meninggal suku abad yang lalu pada 10-10-1984. Al-Fatihah …

Ulasan

ustazah berkata…
Alfatihah juga untuk arwah ayah tuan..
ishah berkata…
segala yang berlaku ada hikmah..alfatihah jua utk arwah bapa tn ks..
sarip dol berkata…
terima kasih kerana memanjangkan ingatan terhadap almarhum ayahanda tuan, moga rohnya sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?