POTRET TERBAIK


Berapa ramai dari pemimpin sama ada di sektor awam mahupun korporat yang benar-benar memberikan reaksi kepada permasalahan orang di bawahnya mahupun para pelanggan mereka. Jika kita andaikan Perdana Menteri adalah ketua dan pemimpin dan kita merupakan kakitangan dan rakyatnya, apa yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri pada masa ini adalah contoh terbaik bagaimana pemimpin dan ketua berinteraksi terus dengan rakyatnya.

Saya teringat beberapa ketika dahulu ketika mengulit dan menghadam buku tokoh usahawan terkenal – Konosuke Matsushita “Not For Bread Alone” apa yang ditekankan oleh beliau ialah tidak memilih pelanggan, hatta yang kaya mahupun miskin haruslah mendapat layanan sama rata. Kisah bagaimana beliau memarahi kakitangan di kedai paunya yang tidak melayan seorang miskin yang mahu membeli pau akan sentiasa diingati bagaimana pelanggan tidak harus dibezakan.

Beberapa bulan dahulu ketika saya diamanahkan untuk membantu dalam urusan mendapatkan sumbangan bagi menjayakan sebuah majlis sempena sambutan 50 tahun persatuan penulis, saya berurusan dengan pelbagai organisasi sama ada yang swasta sifatnya mahupun kerajaan mentalitinya.

Salah sebuah organisasi yang saya berurusan adalah sebuah agensi kerajaan yang terlibat dalam penyatuan dan pemulihan tanah. Itu kisah pada bulan Disember 2011, selepas beberapa bulan jumlah sumbangan yang dijanjikan masih belum dilunas. Itu bukanlah persoalannya kerana saya teringat beberapa tahun dahulu apabila diadakan satu kempen bagi mengutip dana bagi sebuah pertubuhan kebajikan daripada ‘akujanji’ untuk menderma dan yang benar-benar dikutip secara realis ialah hanya 60% daripada yang ‘berjanji’.

Organisasi ini melalui pegawainya di bahagian yang berurusan dengan orang awam seperti saya telah ‘berjanji’ untuk menyumbang kepada majlis kami itu, dan dengan ‘janji’ itu juga segala urusan bagi membolehkan ‘penerbitan’ halaman korporatnya di dalam buku cenderahati diuruskan. Namun selepas beberapa ketika seusai majlis, dua minggu, sebulan, dua bulan masih tiada berita daripada pegawai yang dimaksudkan tadi.

Bukanlah persoalan tentang ‘janji’ sumbangan itu yang saya kesalkan, seperti kata ‘bos’ saya “kalau nak bagi kita terima, kalau tak anggaplah tak de rezeki” tetapi sikap pagawai ini yang tidak berkomunikasi (walaupun dia adalah sebahagian warga Jabatan Komunikasi!) dan tidak pernah menghubungi semula walaupun saya telah membuat ‘lawatan muhibah’ ke pejabatnya dan meninggalkan nombor untuk dihubungi oleh beliau.

Mungkin pada anggapannya saya dan persatuan saya hanyalah orang kecil dan tidak memberi apa-apa kepentingan kepada beliau, namun hati kecil saya berfikir kalaulah saya yang mengambil segala inisiatif untuk berhubung dan bertanya malah ke pejabatnya juga, apalah jadi agaknya dengan Pak Man dari Baling atau Makcik Jenab dari Kota Tinggi!

Kepada Datuk CEO FELCRA, Dato’ Haji Juzilman Basir, yang saya sampaikan ketidakpuasan orang kecil seperti saya hanya lewat kiriman emel, saya merasa amat terharu di atas reaksi dan tindakan pantas beliau menangani dan memberikan pencerahan kepada sikap acuh tak acuh pegawai bawahannya. Semoga kepimpinan beliau dan FELCRA akan sentiasa menjadi contoh ‘Potret Terbaik’ bagaimana seorang pemimpin mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat kecil seperti saya! Syabas Datuk!

Share this article :
 

+ komen + 4 komen

ct
20 Mac 2012 1:04 PTG

terharunya..biasalah ramai yg suka berjanji ..

saripdol
20 Mac 2012 1:56 PTG

sekurang-kurangnya tuan ada wadah dan keberanian..tahniah..

haji manap
20 Mac 2012 3:32 PTG

proaktif ..syabas datuk felcra..

sis
21 Mac 2012 5:01 PTG

manusia yg tidak prihatin mmg perangai mcm tu..nak dpt yg prihatin mcm datuk tu 1 dlm 1000..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger