INTERLOK, PARAH & HARAP …


Katalah apa sahaja, namun yang pasti bahawa dunia sastera Malaysia tidak setenang dahulu. Episod bantahan besar-besaran sehingga memaksa pihak Kerajaan meminda beberapa frasa di dalam novel Interlok di awal tahun lepas adalah sebahagian kecil riak dunia sastera kita yang kecil. Novel Interlok yang nyawanya sebagai teks KOMSAS Tingkatan 5 bagi Zon 2 yang meliputi Negeri-negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan hanya mampu bertahan selama setahun.

Kini novel Interlok yang kononnya menghina kaum India di negara ini, akhirnya digugurkan dan digantikan dengan novel Konserto Terakhir karya penulis yang sama.

Minggu lepas pada ketika yang sama saya memperolehi naskhah jurnal Malay Literature saya yang kebetulan pula merupakan keluaran khas Interlok, saya menonton teater ‘Parah’ arahan Jo Kukuthas yang naskhahnya dihasilkan oleh Alfian Saat.

‘Parah’ kisah empat sahabat seperti biasa dengan dua watak Melayu, Melur dan Hafiz serta watak Cina yang diwakili oleh Lim Kahoe dan watak India pula diwakili oleh watak Mahesh Swaminathan. Parah dimulakan dengan episod kehilangan muka surat dalam novel Interlok yang menjadi inti teater ini.

Selain daripada persoalan novel Interlok, naskhah ini juga diinspirasikan daripada filem Talentime arahan Yasmin Ahmad. Parah di tangan Jo Kukuthas merungkai pelbagai persoalan – jati diri, perpaduan kaum, sikap dan sifat bangsa-bangsa utama di Malaysia yang diwakili oleh empat sahabat bersekolah di Sekolah Menengah Bandar Baru. Frasa ‘pariah’ dan ‘kasta’ yang menjadikan kaum India kurang senang apabila novel ini terpilih sebagai teks KOMSAS, dirungkai daripada pandangan penulisnya, seorang warga Singapura.

Pelakon-pelakon muda yang mewakili generasi masa kini, sebenarnya kekok untuk mengungkap frasa-frasa yang menyinggung kaum lain, frasa seperti Cina Babi atau Janji Keling bukanlah yang lazimnya terpacul dari mulut generasi muda, jika adapun hanyalah sebagai iseng-iseng dan gurauan yang kasar.

Parah dipentaskan di Singapura menggunakan judul Pariah pada Jun 2011 yang lalu. Apabila ditanya mengapa judulnya ditukar di sini, penulisnya menegaskan bahawa Parah yang dimaksudkan sebenarnya membawa harapan jika dieja secara terbalik.

Parah sebenarnya menyingkap perasan generasi muda dan impak penggunaan novel Interlok di dalam bilik darjah, memang benar walaupun novel ini hanya digunakan oleh beberapa negeri di Malaysia, namun kesan psikologinya digarap begitu rapi oleh penulisnya. Lihatlah bagaimana Mahesh yang sebenarnya seorang yang sangat lembut tiba-tiba berubah menjadi begitu agresif oleh tekanan kawan-kawan Indianya.

Begitu juga, watak Hafiz yang sebenarnya mencari dirinya sendiri, akhirnya mengetahui bagaimana sebenarnya dia dibela oleh bangsa Cina sebelum dikembalikan kepada neneknya. Di tangan Jo Kukuthas, Parah menjadi harapan generasi muda di Malaysia!

Ulasan

anep berkata…
sedih ngan nasib interlok...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?