TALQIN UNTUK PPSMI ...



Hari ini, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman penting berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walaupun hal ini telah diumumkan pada Julai 2009, namun terdapat pelbagai usaha untuk menghidupkan semula dasar yang dianggap paling merugikan para pelajar melayu khususnya di luar bandar.

Dasar tempang ini yang diperkenalkan ketika mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad di hujung tempoh beliau memerintah Malaysia. Ketika pengumumannya pada tahun 2002 dan kemudiannya dikuatkuasa bermula 2003, dasar tempang ini tetap diteruskan walaupun terdapat pelbagai desakan untuk mengkaji semula pelaksanaannya.

Tanyalah mana-mana guru yang mengajarkan subjek Matematik dan Sains tentang pandangan mereka terhadap dasar tempang ini, tentu yang disuarakan ialah soalan mengapa Matematik dan Sains. Kita tidak pasti sama ada telah dibuat kajian mengenainya sebelum dasar tempang ini diperkenalkan tidak seperti pada masa ini ketika mahu memansuhkan pelbagai kajian, persidangan, rundingan, perbincangan dan pandangan di semua peringkat pihak-pihak berkepentingan telah diadakan sebelum dasar tempang ini dimansuhkan.

Kemuncak daripada penentangan dasar tempang PPSMI ini ialah protes 100 ribu rakyat yang berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 7 Mac 2009. Perhimpunan besar-besaran ini telah diketuai oleh Datuk Hassan Ahmad (Allahyarham), SN A. Samad Said dan ribuan tokoh dan pecinta bahasa Melayu di negara kita.

Selain daripada bantahan secara besar-besaran, banyak usaha terancang telah dibuat bagi membuktikan bahawa dasar tempang PPSMI sebenarnya adalah bertentangan dan merugikan pelbagai pihak khususnya para pelajar dan anak-anak Melayu. Sebuah buku (buku merah) berjudul ‘Mengapa Kami Bantah’ telah diterbitkan dan disebar secara meluas bagi memberikan data-data dan kajian yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh di IPTA mengenai ketidak berkesanan dasar tempang PPSMI ini.

Hari ini, dasar tempang PPSMI ini secara rasminya di’talkin’kan dan polemik mengenainya akan tersimpan kemas di dalam lipatan sejarah. Siapa yang boleh lupa bagaimana SN A. Samad Said dan Allahyarham Datuk Hassan Ahmad menyertai ribuan penentang protes mengenai dasar tempang ini.

Saya percaya ramai di antara kita kecuali beberapa pihak seperti PAGE dan beberapa organisasi lain yang mahukan dasar tempang ini dimansuhkan daripada sistem pendidikan negara.

Selamat Tinggal PPSMI, Selamat Datang MBMMBI!

Ulasan

anep berkata…
dah ada pengumuman rasmi ke?
mkriza berkata…
Jangan terlalu tunduk kepada desakan. Itu menunjukkan kita lemah. Pemimpin tak boleh lemah.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?