SIMPANAN TETAP, SIMPANAN BERKALA & SIMPANAN BERMUSIM …

Beberapa orang teman merungut mengenai iklim ekonomi yang kurang memberangsangkan. Menurut mereka hal ini terpancar dan sangat dirasai. Saya tidak begitu merasakannya kerana pertama, saya tidak sangat terlibat dengan projek-projek kerajaan secara langsung dan yang kedua ialah dalam beberapa keadaan saya masih dianggap ‘makan gaji’ walaupun seringkali makan hati!

Seorang teman saya yang pernah saya bantu dalam sebuah projek mengeluh, kakitangan di pejabatnya hanya menerima separuh gaji sejak bulan kedua 2011 yang lalu, malah saya sendiri diminta membantu tanpa apa-apa bayaran kecuali bayaran perundingan berdasarkan projek diterima daripada pihak kerajaan, itupun selepas pembayaran oleh pihak Kerajaan.

Ada pula teman-teman yang telah mula ‘mengelat’ untuk membuat simpanan secara berkala yang lazimnya dilakukan setiap bulan kerana keperluan-keperluan yang lebih mendesak. Walaupun menurut seorang teman saya, pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan melalui pelbagai kaedah dengan pelbagai istilah yang muluk-muluk – GTP (Government Transformation Programme), ETP (Economic Transformation Programme) kesemuanya tidak banyak membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana sepertinya.

Seorang teman yang lain pula saban hari berdoa akan sentiasa ada Pilihanraya Kecil (sama ada melalui kematian ADUN mahupun Ahli Parlimen), namun impiannya tidak mungkin lagi termakbul kerana selepas ini tidak mungkin akan berlangsung Pilihanraya Kecil kerana mandat yang diberikan sejak Mac 2008 telah melepasi tahap yang memerlukan pilihanraya kecil diadakan. Menurut teman itu lagi, setiap kali pilihanraya kecil diadakan dia seperti mendapat durian runtuh sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Ini katanya memungkinkan dia menambah simpanannya secara bermusim.

Simpanan tetap yang selama ini dianggap sebagai penyelamat tidak lagi berupaya, ini adalah kerana telah ada pelbagai jenis simpanan lain yang menawarkan pulangan yang lebih tinggi dan selamat berbanding sebelum ini yang hanya berkiblatkan simpanan tetap semata-mata. Simpanan tetap tidak lagi menjadi jaminan atau kaedah yang paling menarik untuk menyimpan lebihan duit yang ada.

Ketika pilihanraya negeri di Sarawak pada minggu lalu, pembangkang berjaya menggandakan kedudukan kerusi di DUN daripada 7 kepada 15, pencapaian sebanyak 100 peratus. Sabah dan Sarawak yang sering dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ parti Barisan Nasional nampak agak tergugat, seperti seorang teman saya yang tidak lagi melihat simpanan tetap di bank sebagai suatu yang menarik, kini memindahkan atau mempelbagaikan simpanan tetapnya di pelbagai alternatif yang lain. Mungkin rakyat Sarawak juga merasakan demikian apabila pulangan dari sokongan yang dianggap simpanan tetap oleh Barisan Nasional tidak begitu memberangsangkan!

Ulasan

anep berkata…
salam tuan, dalam maknanya...
siti berkata…
analogi yg baik..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?