WELCOME TO JELEBU HOSPITAL

Paparan Maklumat di Bahagian Rekod Hospital Jelebu!

Pengalaman meneman sahabat saya ke Hospital Jelebu memaksa saya berkongsi catatan ini. Hospital Jelebu khususnya persekitarannya memang menyamankan. Sahabat saya yang datang untuk mendapatkan laporan perubatannya untuk tujuan membuat tuntutan dari PERKESO. Berurusan dengan Bahagian Rekod, keramahan petugasnya memang harus dipuji malah pelbagai maklumat mengenai Hospital Jelebu dipaparkan bertujuan memberikan maklumat aktiviti kepada orang awam.

Apa yang agak mengecewakan saya ialah apabila carta-carta dan maklumat yang dipaparkan di Bahagian Rekod Hospital Jelebu khususnya mengenai kemasukan, bayaran tertunggak, bilangan bayi yang dilahirkan dan pelbagai maklumat yang lain kesemuanya menggunakan Bahasa Inggeris, ketika saya mengajukan pertanyaan ini kepada petugas yang ramah – ini bahasa perubatan, itulah jawapan yang diberikan! MasyaAllah, selepas lebih setengah abad negara mencapai kemerdekaan, selepas pelbagai usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu oleh agensi-agensi Kerajaan dan usaha Kerajaan memartabatkan Bahasa Melayu sejajar dengan peruntukan Perlembagaan, terus terang saya kata saya agak terganggu dengan situasi ini.

Apakah maklumat yang dipaparkan dalam Bahasa Inggeris ini mampu dihayati oleh masyarakat setempat? Apakah selepas Universiti Kebangsaan Malaysia dan lain-lain IPTA tempatan melahirkan graduan perubatan yang begitu ramai, istilah-istilah perubatan ini tidak ada dalam kosa kata Bahasa Melayu?

Ironinya Hospital Jelebu terletak dalam kawasan P126 Parlimen Jelebu yang Ahli Parlimennya ialah Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang saya amat sanjungi sebagai pecinta budaya bangsa khususnya Bahasa Melayu, tentulah hal ini akan mengecewakan beliau.

Saya tidak menyalahkan si petugas Bahagian Rekod yang ramah dan faham tanggungjawab serta peranan sebagai petugas barisan hadapan, tetapi mungkin pengurusan Hospital Jelebu harus melihat situasi ini sebelum ditegur oleh Pak Menteri! Kepada Pak Menteri samada Menteri yang bertanggungjawab secara khusus terhadap Hospital di negara ini ataupun Pak Menteri yang juga Ahli Parlimen kawasan Hospital Jelebu elok juga sesekali menziarahi Hospital Jelebu dan melihatnya sendiri sekurang-kurangnya tidak hanya hadir menjelang Pilihan Raya Umum atau pun Pilihan Raya Kecil!

Apalah ertinya maklumat-maklumat yang dipaparkan jika tidak mampu dihayati oleh rakyat, benarlah seperti kata Perdana Menteri apabila ditanya oleh seorang ADUN mengenai perlunya Program UMNO Juara Rakyat, kata beliau rakyat harus diberitahu mengenai usaha-usaha Kerajaan supaya dapat menghayati serta menghargainya.

Ulasan

anep berkata…
paparan itu mungkin utk pelancong asing yang melawat Hospital jelebu kot!
saripdol berkata…
Mungkin warga jelebu lebih faham BI berbanding BM..
warga emas berkata…
hspital swasta pun guna B Melayu..mungkin Menteri Rais patut lihat hospital jelebu..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?