TEATER ATAS POKOK: DARI LONTARAN IDEA KE CATATAN SEJARAH



Pertama kali saya mendengar Dinsman menyebut Teater Atas Pokok (TAP) ialah sewaktu kami membuat kunjung hormat kepada YB Amirudin Shari, exco yang bertanggungjawab terhadap seni dan budaya di negeri Selangor, pada Oktober 2014.

Pada pertemuan singkat itu, beberapa idea dilontarkan untuk perbincangan.  Apabila Dinsman menyatakan dia ingin membuat satu pementasan di atas pokok, saya dan Rozan Azen (seorang AJK Paksi) hanya mampu tersenyum. Namun, idea tersebut mendapat reaksi positif Amirudin, yang malah mahu ia dilaksanakan pada tahun itu juga. Tetapi, karenah birokrasi mengapungkan idea tersebut hinggalah ke awal 2016.

Walaupun dana yang disalurkan melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu tidak mencukupi seperti yang diperlukan, kami di Paksi menerimanya dengan penuh kesyukuran. Cabaran seterusnya adalah menetapkan tarikh pementasan, pemilihan pelakon, dan yang paling utama adalah pokok yang bakal menjadi pentas, apatah lagi kami semua telah ‘jatuh cinta’ dengan pokok yang menjadi sumber inspirasi Dinsman di Madrasah Tarbiyah, Jalan Gombak.

Usaha mencari pokok pada kali pertama dibuat oleh kami bertiga – saya, Kassim Muhamad dan Dinsman. Kami beberapa kali mengintai dan menjelajah hampir separuh Shah Alam. Seperti pesakit mencari penawar daripada dukun dan bomoh, apabila sahaja dikhabarkan ada sepohon  pokok  yang sesuai kami pasti akan menjengahnya, namun akhirnya tidak berkenan.

Hampir-hampir kami terpaksa berpuas hati dengan sepohon pokok  di satu lokasi berhampiran Tasik Shah Alam, apabila pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dimaklumkan, pegawai dari pejabat exco juga turut serta, namun selepas beberapa ketika pokok tersebut pun tidak ber ‘jodoh’. “Tidak mendatangkan inspirasi langsung,” kata Dinsman.

Sementara proses uji panjat (uji bakat) rancak berlangsung di Madrasah Tarbiyah, saya dan Dinsman terus sibuk mencari pokok yang sesuai di Shah Alam. Dinsman berkompromi dengan sepohon angsana di hadapan Dataran Kemerdekaan. Tetapi, esoknya dia membawa saya masuk ke bahagian yang dalam lagi di kawasan itu dan menunjukkan pohon angsana yang agak terbiar, dengan mengatakan “inilah pokoknya”.

Pokok ini dipilih kerana menepati sebahagian besar kriteria yang diperlukan berdasarkan apa yang bermain di minda Dinsman, walaupun dia mengatakan juga, “tak boleh nak lawan pokok yang di Madrasah tu.”

Kecoh di laman media sosial mengenai pokok yang telah dipilih itu, apatah lagi gambar yang menarik diambil dari pelbagai sudut seperti pemandangan dari Kedai Kopi di belakangnya, telah menarik minat dan mengundang banyak komen. Lokasi yang dipilih seperti satu ketentuan. Pokok agak terbiar. Ada tanah lapang di sekelilingnya, ada jambatan, ada tasik yang sering menjadi tumpuan pasangan pengantin mengabadikan hari indah mereka walaupun jeti tasik berlubang di beberapa bahagiannya. 

Seperti melengkapi pencarian Dinsman, di lokasi itu juga ada sebuah Kedai Kopi yang disebut sebagai Kedai Kopi 2, yang memudahkan urusan penyediaan makan dan minum sepanjang latihan dan persembahan nanti.

Memang sejak awal lagi, Dinsman melalui laman facebooknya ‘Shamsudin Osman’ dan juga ‘Madrasah Seni’, banyak memberikan maklumat mengenai perjalanan projek TAP, malah satu halaman khas diwujudkan. Tiada hari tanpa perbincangan mahupun isu mengenai TAP di laman facebook. Begitulah keterujaan semua pihak yang mengikuti perkembangan tokoh teater yang dianggap ‘lejen’ di Malaysia.

Desain poster mula diuar-uarkan. Beberapa kenalan Dinsman di laman sosial bersetuju untuk menyediakan desain yang diperlukan. Tetapi, rupa-rupanya bercakap lebih mudah daripada melaksanakan. 

Desain ‘main-main’ oleh seorang AJK Paksi, Lena Farida menarik perhatian Dinsman. Debat di laman sosial berterusan mengenai desain Lena. Saya sendiri pada mulanya kurang senang dengan desain yang seperti teater kanak-kanak itu.  Namun, selepas beberpa ketika dan akrab dengan desain itu saya mula menyenanginya. Mungkin dengan ilmu yang kurang, saya memerlukan lebih masa untuk menghayati dan menyelami desain seperti itu. Desain ‘ikonik’ Lena memang unik, malah hampir semua yang diajukan poster mengandungi desain tersebut merasa ia sesuatu yang artistik. Terima kasih Lena!

Sejak dari awal lagi idea projek TAP dilontarkan,  saya terus membuat penyelidikan berhubung pementasan seumpama ini, namun, tidak menemui. Yang paling hampir adalah adegan memanjat pokok dalam sebuah pementasan beberapa dekad yang lalu.

TAP harus didokumentasikan untuk dicatat sebagai satu rekod dan pencapaian yang unik – itu tekad saya. Usaha untuk mencatatkannya ke dalam Malaysia Book of Records pun dimulakan. Pihak Malaysia Book of Records (MBOR) bersetuju menghantar pegawainya untuk urusan penilaian awal, dan seterusnya. 

Sementara itu pada1 April, Haji Razali Endun, seorang AJK Paksi secara berseloroh mengejutkan kami dengan lawak April Foolnya. Katanya pokok TAP telah ditebang oleh MBSA. Tetapi akhirnya kami lega kerana itu hanyalah gurauan Razali.

Sesi sidang media yang diberikan oleh Amirudin Shari pada 2 April berlangsung dengan baik. Banyak wartawan dari media cetak, blog dan penulis pengembaraan hadir. Sidang media itu berlangsung dikuti dengan persembahan kuda kepang dan fragmen babak daripada TAP.

Pihak media terus menghubungi bagi menemuramah Dinsman sebagai pengarah dan penulis skrip TAP. Pada 5 April, giliran Aziz Itar dari akhbar Mingguan Malaysia, dijadualkan pada jam 3 petang. Dengan kesibukan tugas hakiki, saya berjanji akan sampai pada jam 3 petang itu.

Sekitar pukul 2.35 ketika bermesyuarat di pejabat, saya menerima panggilan daripada Dinsman, yang kedengaran marah-marah kerana pokok angsana TAP telah ditogelkan oleh pihak MBSA. Saya terus bergegas sambil memohon maaf kerana menamatkan mesyuarat secara tergesa-gesa. “There is an emergency, I am sorry” ungkapan kepada ahli mesyuarat.

Saya hampir sahaja terduduk melihat pokok yang rimbun sebelum ini menjadi terang-benderang malah boleh dilihat dengan jelas dari beberapa sisi pandangan.  Masih kelihatan pekerja-pekerja kontraktor MBSA yang ditugaskan untuk pembersihan pokok itu di situ.
Saya menjadi sangat kecewa, apatah lagi Dinsman. Dia mengungkapkan kekecewaannya itu dalam sebuah puisi, “Pokokku Dilukai”.

Gurauan April Fool  Razali menjadi igauan. Dinsman pada malam itu dalam kumpulan whatsapp Produksi TAP, Paksi, dan Madrasah Seni membayangkan kemungkinan pementasan TAP akan ditunda, bagi mencari pokok ‘baru’. Banyak yang menyokong, ada yang “ikut sahaja” dan tidak kurang yang meminta Dinsman meneruskan apa yang telah dirancang.

Saya secara peribadi menyerahkan kepada budi bicara Dinsman, sambil menggariskan apakah implikasi kewangan, moral dan imej sekiranya pementasan ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Lewat petang itu saya menerima berita gembira daripada pihak MBOR yang telah mengiktiraf TAP sebagai “Pementasan Teater Atas Pokok Yang Pertama”. Ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya terhadap tindakan pegawai MBSA.

Pada pagi Khamis 7 April, Dinsman membuat keputusan untuk meneruskan pementasan mengikut jadual asal.

Selain pementasan teater yang menjadi tumpuan, saya mencadangkan kepada Dinsman agar menjemput sarjana teater dari negara luar untuk menulis mengenai TAP di peringkat antarabangsa. Cadangan dipersetujuinya dan dengan bantuan Dr Zainal Latiff, kami mengundang Prof Dr Kathy Foley daripada Universiti California, Santa Cruz, untuk maksud berkenaan. Dr Kathy Foley juga adalah editor Asian Theatre Journal.

Apabila dimaklumkan kepada Amirudin, beliau terus bersetuju membiayai kehadiran sarjana ini. Sempena itu satu sesi ceramah olehnya berjudul “The Development of Malay Theater – An Outsider’s View”, akan diadakan pada 18 April 2016. Sesi ceramah ini adalah siri pertama Ceramah Seni Budaya Selangor yang diilhamkan oleh Amirudin.

Sepanjang terlibat dalam produksi ini, saya cukup teruja dengan semangat dan kesungguhan para pelakon, petugas, sukarelawan dan teman-teman yang terus menyokong penuh pementasan ini. 

Saya percaya banyak perkara yang berlaku ketika perjalanan TAP  ini, daripada permulaan lontaran idea kepada Kerajaan Negeri Selangor sehingga pementasan ini dicatat dalam MBOR, mempunyai hikmahnya yang tersendiri. 

Sesungguhnya Allah SWT lebih tahu apa yang dilakukan ini. TAP bukanlah teater yang biasa. Lihat dengan mata hati, nikmatilah dengan minda yang terbuka. Bukankah kita sedang berakrab dengan alam, dengan seni, seperti yang diungkapkan oleh Dinsman:


“Ia sebuah medium seni yang baru; sedang mencari dan menemukan bahasanya tersendiri, berasaskan kepada bahasa teater – gerak lakon dan akrobatik, visual dan warna, bunyi dan suara, muzik dan lagu, gerak tari, puisi dan dialog, dan paling penting: binaan pokok serta alam sekitarannya sebagai ruang teater.”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?