SIFAR SUBSIDI KAYA, PRAKTIKAL KE?
Awal bulan ini, minyak RON95 dinaikkan harga
sebanyak RM0.20, maaf bukan dinaikkan harga cuma dikurangkan subsidi sebanyak
RM0.20 maka harganya distrukturkan semula kepada RM2.30 seliter.
Khabarnya bermula Jun 2015 dua bulan selepas
pelaksanaan GST, golongan berpendapatan tinggi perlu membeli bahan bakar RON95
pada harga pasaran dunia dan tiada lagi subsidi oleh kerajaan untuk mereka.
Ini berikutan langkah kerajaan untuk
melaksanakan sifar subsidi bagi petrol RON95 kepada golongan kaya. Kelihatannya mudah, tetapi apakah takrif kaya
dan miskin, pendapatan tinggi dan rendah.
Semuanya adalah subjektif.
Tidak pasti apakah penanda aras yang
digunapakai untuk menentukan pendapatan untuk menikmati petrol bersubsidi
manakala yang lain pula terhukum dengan subsidi sifar.
Adakah semata-mata dengan merujuk kepada slip
gaji seperti yang dilakukan untuk menentukan penerima BR1M, atau adakah kesemua
penerima BR1M layak secara automatik.
Jika itulah penanda aras bagi menentukan
golongan kaya dan miskin untuk menikmati petrol RON95 bersubsidi, maka kerajaan
sekali lagi bakal dilanda masalah.
Selain itu, kerajaan juga sedang mengkaji
penggunaan MyKad bagi melayakkan pembelian bahan bakar bersubsidi. Pendekatan ini dilihat agak praktikal bagi
mengehadkan hanya rakyat negara ini layak membeli bahan bakar bersubsidi.
Namun adakah kerajaan juga menyediakan pelan
bagi menghalang supaya rakyat negara ini tidak diperalatkan untuk membeli bahan
bakar bagi pihak rakyat asing.
Jangan lupa bagi setiap pendekatan mahupun
peraturan, mereka yang mahu melanggarnya akan menyediakan sepuluh lagi pelan
bagi mengatasi peraturan kerajaan.
Penanda aras kaya dan miskin adalah tidak sama,
mungkin Pak Abu yang tinggal di Kerdau mengusahakan kebun kelapa sawit miliknya
jauh lebih senang daripada Imran Ali yang tinggal di Kuala Lumpur dengan suami
isteri bekerja dan menangggung empat anak di sekolah menengah.
Jika silap langkah, kerajaan bakal menyebabkan
jurang yang lebih besar di antara miskin dan kaya, dan yang lebih malang akan
terdapat sifat regresif di kalangan orang kaya yang terpaksa tidak menikmati
subsidi.
Hasilnya, akan timbul pula pertanyaan ‘mahu apa
lagi orang kaya’ apabila kalangan mereka tidak lagi menyokong kerajaan.
Sekarang ini pun sokongan kerajaan adalah
daripada kalangan pengundi pinggir dan luar bandar. Misalnya di ibukota Kuala Lumpur pun hanya
dua kerusi daripada 10 kerusi di menangi Barisan Nasional berbanding pakatan
pembangkang. Begitu juga di kebanyakan
bandar-bandar besarnya.
Kerajaan haruslah mencari satu mekanisme bagi
meyeragamkan harga bahan bakar untuk semua rakyat dan tidak harus membezakan
harga bagi sesuatu golongan. Apa yang
sewajarnya dilakukan adalah usaha haruslah dipergiatkan bagi membanteras
penyeludupan dan salah guna subsidi di sektor-sektor tertentu.
Adalah satu langkah yang tidak bijak
mengehadkan subsidi bagi golongan tertentu di negara kita. Jika itulah yang berlaku maka, akan jauhlah
juga pihak-pihak yang menerima tempias penafian subsidi daripada terus menyokong
kerajaan.
Dikhuatiri juga kos bagi pengurusan golongan tidak layak
menikmati subsidi akan mengatasi nilai subsidi yang cuba dijimatkan oleh
kerajaan, akhir menjadi seperti lebai malang!
Ulasan