BAJET GILA LEBUHRAYA?
Beberapa
tahun yang lalu, saya diajukan sebuah teka-teki oleh seorang yang saya anggap
sebagai ‘pesakit mental’ kerana dia pernah menjadi penghuni Hospital Bahagia di
Tanjung Rambutan dan Tampoi. Pun begitu
menurut keluarganya ini adalah kerana sifat banyak fikirnya. Teka-tekinya adalah, apakah identiti negara
kita.
Banyaklah
jawapan yang saya kemukakan, sambil menjamunya teh tarik dan mee goreng mamak,
namun semua jawapan saya salah katanya.
Selepas menghabiskan dua pinggan mee goreng yang dijamu saya, dia
memberikan jawapannya. Identiti Malaysia
katanya adalah – Lebuhraya dan Tol!
Saya
membantah, namun hujahnya adalah jelas dan meyakinkan apabila memberikan
fakta-fakta mengenai lebuhraya dan tol di negara kita. Akhirnya, saya terpaksa akur dengan
jawapannya sambil berikrar untuk memastikan sendiri fakta tersebut.
Ketika
pembentangan bajet pada Jumaat lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan
beberapa projek besar antaranya adalah pembinaan Lebuhraya yang digariskan dalam
Tindakan ke-8 - Merancakkan Pelaburan Awam dan Swasta.
Sekurang-kurang
empat buah lebuhraya bakal dibina dalam bajet 2015. Antaranya adalah Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang
sepanjang 59 kilometer dengan kos RM5.3 billion, Lebuhraya Pantai Barat Taiping
ke Banting sepanjang 276 kilometer dengan kos RM5 billion, Lebuhraya Damansara –
Shah Alam sepanjang 47 kilometer dengan kos RM4.2 billion dan yang terakhir
adalah Lebuhraya Lingkaran Luar Kuala Lumpur – Hubungan Timur sepanjang 36
kilometer dengan kos RM1.6 billion.
Kesemua
4 buah lebuhraya yang dicadangkan akan membabitkan kos lebih RM16 billion. Walaupun pembinan lebuhraya ini adalah bagi
merancakkan pelaburan awam dan pihak swasta misalnya melalui PFI atau
Pembiayaan Inisiatif Swasta, namun jangan lupa pihak swasta yang mencadangkan
pembinaan lebuhraya ini meletakkan aspek keuntungan sebagai matlamat mereka.
Kisah
kenaikan tol setiap beberapa tahun juga telah menggangu lena rakyat selama
ini. Adakah kerajaan atas nama
merancakkan pelaburan sewenang-wenang membenarkan rakyat saban kali tersepit
dengan tol dan perjanjian yang menguntungkan sebelah pihak sahaja.
Adakah
membina lebuhraya ini benar-benar mendesak, apakah kerajaan sudah lupa dengan
iltizam untuk memperbaiki pengangkutan awam dan menggalakkan rakyat menggunakan
pengangkutan awam. Anehnya, pembinaan
lebuhraya melalui PFI dengan pulangan kebenaran mengutip tol pada kadar yang
ditetap dengan kenaikan yang ditetapkan dan pampasan sekiranya tidak mencapai
kutipan yang disasarkan amat merugikan rakyat.
Bukankah
kesemua ini menjadikan kerajaan sebagai pihak tidak bertanggungjawab dengan
memajakkan kebajikan rakyat atas nama ‘merancakkan pelaburan awam dan swasta’?
Tidakkah
kerajaan melakukan kajian secara terperinci mengenai keperluan membina
lebuhraya atau adakah kerajaan bercadang membina seberapa banyak lebuhraya di
negara kita supaya kos pembinaan dan penyelenggaraan ini akhirnya diswastakan
dan rakyat menerima tempiasnya.
Jika
dilihat di ibu kota sahaja, lebuhraya bersimpang siur dan masih menimbulkan
kesesakan. Bukan sahaja pengguna
jalanraya seperti anda dan saya terpaksa membayar tol malah terpaksa pula
memendam rasa merasai ‘nikmat’ kesesakan di lebuhraya.
Selain
itu dalam Bajet 2015 juga dicadangkan pembinaan lebuhraya Pan Borneo sejauh 1,663
kilometer melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah
sepanjang 727 kilometer dengan kos sebanyak RM27 billion.
Pembinaan
lebuhraya memanglah amat berguna, namun rasanya dengan kenaikan berterusan
bahan api seperti petrol, ooops maafkan pengurangan subsidi bahan api, rakyat
tentulah lebih menghargai jika kerajaan berterusan memperbaiki sistem
pengangkutan awam serta melakukan usaha-usaha untuk menggalakkan rakyat
menggunakan pengangkutan awam.
Jangan
lupa beberapa minggu yang lalu, rakyat di Sabah berusaha membina jalanraya
mereka sendiri, kerana janji Kerajaan selama 15 tahun tidak tertunai,
harapannya Lebuhraya Pan Borneo yang dicadangkan dalam Bajet 2015 tidak hanya
tertinggal dalam dokumen Bajet yang dikeluarkan daripada beg hitam Perdana
Menteri!
Biarlah
rakyat Sabah dan Sarawak menikmati perjalanan lancar seperti kami yang
mempunyai PLUS di Semenanjung. Cukuplah
sudah lebuhraya di sekeliling kita khususnya di ibu kota. Jika tidak maka tepatlah apa yang disimpulkan
kenalan ‘pesakit mental’ saya mengenai identiti Malaysia.
Moga
Bajet 2015 tidak pula dilabel sebagai Bajet Gila Lebuhraya!
Ulasan