APA YANG DIHARAPKAN DARI BAJET 2015?
Dewan
Rakyat akan memulakan sesi sidang terakhir bagi tahun 2014 pada pagi ini dan
khabarnya akan terdapat juga protes mengenai kenaikan harga barang khususnya
minyak yang dinaikkan sebanyak 20 sen pada 2 Oktober yang lalu.
Lazimnya,
kenaikan atau penuruan harga barangan mahupun perkhidmatan adalah selepas pengumuman bajet saban
tahun. Nampaknya pentadbiran kerajaan di
bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib lebih proaktif. Mungkin ada rasionalnya harga minyak dinaikan
menjelang pembentangan bajet supaya Bajet 2015 tidak diberi jolokan Bajet Naik
Harga!
Bajet
2015 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah yang keenam selepas
mengambilalih tampuk pimpinan negara pada 2009.
Khabarnya
bajet pada kali ini menjanjikan pelbagai insentif kepada rakyat seperti
lazimnya. BR1M yang diperkenalkan Datuk
Seri Najib pada 2012 akan ditambah nilainya.
Kakitangan
awam juga telah meletakkan harapan untuk menerima bonus dua bulan gaji. Presiden CUEPACS, Azih Muda telah dilaporkan agar
Kerajaan mempertimbangkan dengan serius tuntutan bonus dua bulan untuk
kakitangan awam. Dengan kenaikan kos
sara hidup dan harga barang dan perkhidmatan, tentulah kakitangan awam
mengharapkan Kerajaan mendengar rintihan mereka.
Suatu
ketika dahulu ketika negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri
(sekarang Tun) Abdullah Badawi, terdapat kenaikan harga minyak yang
signifikan dan salah satu daripada alasan yang diberikan ketika itu adalah bahawa
penjimatan daripada subsidi yang dikurangkan akan digunakan untuk memperbaiki
sistem pengangkutan awam khususnya di bandar-bandar besar.
Sehingga
kini selepas 6 kali bajet dibentangkan oleh penggantinya, masalah
pengangkutan awam masih belum selesai.
Lihat sahaja bagaimana pengangkutan awam di stesen keretapi misalnya di
KTM Kajang dan Batu Tiga (sekadar contoh), bagaimana perkhidmatan teksinya
begitu ‘cekap’ mengenakan bayaran ‘lumayan’ kepada penumpang bagi destinasi
kurang 5 kilometer!
Sungguhpun
terdapat bas perantara yang disediakan di sesetengah stesen KTM, namun usaha
ini belum menyeluruh.
Walaupun
tidak banyak pilihan, masih ramai yang menggunakan perkhidmatan seperti KTM dan LRT untuk ke tempat kerja dengan meninggalkan kenderaan mereka di
stesen-stesen KTM. Di Shah Alam dan
Petaling Jaya misalnya terdapat bas percuma disediakan dengan inisiatif Majlis
Bandaraya Petaling Jaya, begitu juga perkhidmatan bas berwarna ungu Go KL oleh
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Bagi
rakyat kecil seperti saya, tentulah mengharapkan supaya kos sara hidup tidak
terus melambung khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar. Jika saya memilih untuk menggunakan
perkhidmatan pengangkutan awam, tentulah juga mengharapkan prasarana yang
menyeluruh bagi menghubungkan destinasi ke stesen KTM dan LRT lebih pantas dan
murah.
Cukuplah
kerajaan memberikan alasan-alasan bebal yang tidak masuk akal apabila berhujah
mengenai pengurangan subsidi minyak misalnya.
Kerana alasan-alasan bebal sebenarnya menambahkan rasa mual rakyat terhadap
pemimpin (baca: Menteri) yang memberikan kenyataan bebal seolah-olah lebih
berminat untuk menjaga kerusinya daripada kebajikan rakyat!
Ulasan