DYANA, RARA & MELATI

Kisah Dyana Sofya tiba-tiba menjadi sensasi apabila dicalonkan sebagai calon DAP bagi pilihanraya kecil Teluk Intan pada Mei lalu.  Dyana Sofya sebelum ini adalah Pembantu Khas Ahli Parlimen Gelang Patah.

Ironinya, Dyana Sofya adalah anak kepada seorang pemimpin UMNO di peringkat cawangan.  Ibunya dikhabarkan sebagai Setiausaha wanita pertama bagi sebuah cawangan mahupun bahagian.

Kemasukan Dyana Sofya dalam arus politik negara dilihat sebagai pembuka mata, malah pencalonannya sebagai calon Pilihanraya Kecil Teluk Intan juga membuka mata banyak pihak.  Walaupun ramai mengganggap pemilihan Dyana Sofya tempohari sebagai ‘gimik’ dan ‘retorik’ parti DAP dalam menambah undi orang Melayu, namun hakikat yang tidak dapat disangkal adalah sebagai muka baru dia mampu memberikan saingan sengit kepada calon veteran Barisan Nasional.

Dyana Sofya graduan universiti yang memberikan perhatian khusus untuk Melayu dan Bumiputera, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang perundangan.  Apa yang menarik untuk difikirkan adalah bagaimana seorang seperti Dyana Sofya dengan latarbelakang ibunya sebagai pemimpin UMNO, dan mendapat manfaat daripada semua dasar yang menguntungkan orang Melayu tiba-tiba dilihat menyertai DAP.

Baru-baru ini dilaporkan Ketua Pemuda UMNO dan BN, Khairy Jamaluddin sebagai tidak bimbang dengan kemasukan Dyana Sofya dan dua lagi wanita Melayu dalam kelompok generasi muda DAP.

Menurut Khairy lagi, penyertaan Dyana Sofya, Syefura Othman (Rara) dan Jamila Rahim (Melati) hanya sekadar ilusi untuk mengaburi orang ramai.

Sama ada apa sahaja tanggapannya, ilusi atau apa sahaja, penyertaan golongan muda dalam kelompok DAP tidak boleh diperlekeh.  Lihat sahaja bagaimana DAP sanggup mengorbankan kerusi Parlimen mereka dengan menonjol dan memberi peluang kepada generasi muda untuk diketengahkan.

Adakah UMNO atau BN begitu berani.  Dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri N24 Kajang tempohari, calon kitar semula seperti Chew Mei Fun ditonjolkan.  Jika dalam pertandingan bolasepak pula yang dilihat tiada harapan untuk menang, pemain-pemain di bangku simpanan dan pemain baru akan diberi peluang untuk beraksi.  Nampaknya dalam konteks politik dan memberi peluang kepada calon muda, DAP lebih ke hadapan.

Selepas Dyana Sofya, seorang lagi wanita Melayu menyertai DAP, dan kali ini pula wanita Melayu bertudung.

Syefura Othman atau Rara anak kelahiran Negeri Sembilan menyertai DAP kerana peluang yang disediakan oleh DAP untuk golongan muda sepertinya. 

“Kita perlukan seseorang untuk ke depan dan menjadi contoh, pemimpin dan pembuka jalan”.

Selepas Dyana Sofya yang dilabel sebagai wanita Melayu berbaju kurung, muncul Rara dengan imej bertudungnya.  Sekali lagi persoalannya adakah mereka mendapati bahawa politik DAP jauh lebih baik daripada UMNO dan BN.  Jika hal ini benar, maka wajarlah BN dan UMNO khususnya memuhasabah diri dan melihat keperluan generasi muda di Malaysia.

Tiada gunanya menyekat parti-parti politik khususnya pembangkang daripada hadir di pusat-pusat pengajian tinggi jika generasi muda memilih untuk menyertai pembangkang selepas tamat pengajian. 

Jangan lupa jumlah pengundi wanita adalah 51.7% daripada keseluruhan pengundi berdaftar di Malaysia.

Terkini adalah penyertaan seorang lagi wanita Melayu, Jamila Rahim yang dilaporkan memakai purdah.  Ironinya, dia tidak memilih UMNO mahupun PAS yang dilabel sebagai parti Islam, namun memilih parti DAP sebagai platform politiknya.

Fenomena tiga wanita Melayu dengan penampilan masing-masing seolah-olah melengkapkan penyertaan wanita dalam DAP.

Seperti yang diungkapkan oleh Khairy Jamaluddin, “mula-mula ambil wanita tidak bertudung, selepas itu bertudung dan kemudian berpurdah, jadi lengkaplah spektrum seluruh wanita Melayu”.

Sama ada DAP melabur sebagai ‘model pemasarannya’ atau pun seperti ‘ilusi’ yang dilabel Khairy Jamaluddin, namun penyertaan tiga wanita Melayu sebenarnya adalah sebagai ‘simbol’ dan ‘isyarat’ yang jelas kepada UMNO dan BN untuk melihat penyertaan wanita khususnya generasi muda dalam politik matang di Malaysia.


Ilusi yang kuat, jangan sampai menjadi tsunami pula! 

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
gelombang tsunami sedang beralun..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU