SIDANG KEMUNCAK PENULIS & HIMPUNAN BUDAYAWAN 1 MUHARAM

Rasanya penulis dan karyawan di Malaysia agak beruntung kerana banyak program yang diatur untuk mereka. 

Bulan ini sahaja dua acara besar melibatkan karyawan khususnya dunia persuratan.  Kedua-duanya bagai langit dan bumi.

Acara pertama Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) yang dianjurkan bersama oleh Bina Darulaman, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA).  Acara tiga hari dua malam ini memberi peluang kepada 200 penulis yang mendaftar melalui laman sesawang dan kemudiannya disaring oleh panel pemilih.  Kerana sambutan yang luar biasa, ramai yang terpaksa melupakan hasrat untuk menghadirkan diri kerana tempat yang terhad.

Acara SKPM ini akan berlangsung di Darulaman Golf and Country Club, Jitra bermula 24 hingga 26 Oktober ini bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Ini acara arus perdana yang dianjurkan bagi menghimpun para penulis tanah air.  Khabarnya semua peserta akan ditempatkan di Darulaman Golf and Country Club

Satu lagi program adalah rentetan daripada yang pernah dianjurkan pada tahun 2010.  Program Himpunan Budayawan 1Muharam 2014 adalah program yang berhasrat menghimpun seramai mungkin budayawan daripada semua genre. 

Program ini bertujuan menghimpunkan para budayawan terdiri daripada penulis, pelukis, pemuzik, penyanyi, penyair, pengarca, aktivis seni tradisional, ilmuwan akademik dan peminat seni-budaya dari seluruh Malaysia, di suatu tempat iaitu di Madrasah Tarbiyah, Kampung Banda Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur. 

Tujuannya bagi menyatakan sokongan kepada penduduk-penduduk kampung berkenaan, yang berjuang bagi mengekalkan kampung mereka agar tidak dimusnahkan atas nama ‘pembangunan’.

Sempena program pertama tahun 2010 dulu, diterbitkan sebuah buku antologi puisi karya 56 orang penyair, bertemakan Kampung Warisan Melayu – “Antologi Puisi 56 Penyair”.

Ironinya, program Himpunan Budayawan 1Muharam adalah acara oleh sebuah persatuan kecil yang terpaksa menagih dana bagi melaksanakan program mereka.  Khabarnya, program HB1M ini mendapat sumbangan daripada Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), malah DBP menaja sepenuhnya salah satu daripada pengisian dalam HB1M ini iaitu ‘Wacana Kampung – Proses Kreatif Siti Zainon Ismail’ yang akan berlangsung pada 23 Oktober 2014 ini.

Selain daripada DBP, Himpunan Budayawan 1Muharam juga mendapat sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor serta sokongan kerjasama daripada Madrasah Tarbiyah, Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA) dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Malah seperti pada tahun 2010 ketika pertama kali program ini dilaksanakan, khabarnya orang-orang kampung berdekatan dengan Madrasah Tarbiyah akan membantu menjayakan Himpunan Budayawan 1 Muharam nanti.

Adalah keterlaluan membandingkan dua buah program ini, SKPM dan HB1M masing-masing mempunyai agenda dan matlamat tersendiri.  Seperti HB1M yang berlangsung dalam suasana kampung yang masih kekal dan cuba dikekalkan sedaya upaya, SKPM berlangsung di persekitaran yang dahulunya kampung dan dikeliling hutan dan pokok, kini telah berubah menjadi Kelab Golf!

Rasanya tidak salah kepada pihak-pihak yang berusaha menyatukan penulis dan karyawan seperti yang dilakukan dalam SKPM, dalam masa yang sama pihak yang ada-ada jangan pula lupa menjenguk budayawan yang tersepit menagih dana penganjuran dan mempertahankan kampung tradisi mereka. 


Selamat bersidang puncak dan berhimpun para budayawan!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
meriahnya...
SIS berkata…
patutnya bila dikaitkan dgn budayawan..Kementerian yg ada perkataan 'BUDAYA' patut terlibat secara langsung dan mempunyai peruntukan khas tahunan untuk program2 seperti ini..tambahan skrg ni tgh giat Kempen Bulan Bahasa..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU