APA MAKNANYA KITA MENJADI AHLI PBB?
Semalam kita
meraikan kejayaan negara terpilih sebagai anggota tidak tetap Majlis
Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi tempoh 2015 – 2016. Lebih manis lagi adalah undi yang diperolehi
adalah agak tingg iaitu 187 daripada 192 buah negara yang mengundi.
Ini bukanlah
kali pertama, negara kita terpilih sebagai anggota tidak tetap. Malaysia pernah menjadi anggota tidak tetap
UNSC pada tahun 1965, 1989-1990, dan kali terakhir pada 1999-2000.
Dalam
pemilihan itu, Malaysia merupakan calon tunggal rantau Asia Pasifik dan akan
diganti oleh Fiji bagi dua tahun
berikutnya.
Menariknya,
negara kita terpilih ketika pelbagai isu khususnya Akta Hasutan yang dimomok
sebagai menyanggah hak asasi kemanusiaan.
Malaysia
ditegur kali pertama pada pertengahan September lalu oleh Pejabat Pesuruhjaya
Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia yang khabarnya
menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang dilihat sebagai peningkatan
penindasan untuk bersuara secara aman di negara ini.
Tiga minggu
kemudian, pada 9 Oktober lalu, Malaysia sekali lagi ditegur oleh PBB dalam isu
yang sama mengenai Akta Hasutan.
Dengan tema ‘Keamanan
dan Keselamatan melalui Kesederhanaan’, negara berjaya mendapat perakuan 10
buah negara jiran dalam Asean pada September 2013 dan Kumpulan Serantau Asia
Pasifik pada Januari yang lalu.
Peranan
Malaysia dengan pendekatan kesederhanaan sebenarnya membuka mata banyak pihak
khususnya berkaitan dengan konflik di Timur Tengah sama ada perang saudara
mahupun konflik berpanjangan Israel dan Palestin.
Sebagai
anggota UNSC, Malaysia mempunyai tanggungjawab dan amanah yang besar membawa
suara sejagat khususnya daripada kalangan negara-negara Asean, umat Islam dan
rakyat Malaysia sendiri.
Walaupun bukan
kali pertama menduduki kerusi ini, namun cabaran pada kali ini tentulah lebih
besar berbanding beberapa kali sebelum ini.
Konflik dunia pada masa ini tentulah jauh lebih meruncing berbanding 40
atau 50 tahun yang lalu.
Majlis
Keselamatan PBB adalah satu badan yang penting dalam cabang PBB kerana kerusi
yang disandang memberikan negara anggota suara yang kuat dalam menangani
isu-isu berkaitan keamanan dan keselamatan dunia.
Penyertaan dan
pendapat negara-negara yang menduduki kerusi UNSC akan sentiasa ditunggu dan
didengar malah akan menjadi perhatian negara-negara lain di dunia. Ketegasan Malaysia dalam isu-isu berkaitan
keamanan dan keselamatan memang jelas selama ini apabila kita secara konsisten
menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
Selain itu,
tindakan Perdana Menteri selepas insiden nahas MH17 yang bertegas meminta puak
pemisah memberikan laluan kepada pasukan penyelamat dianggap sesuatu usaha yang
berani memandangkan kuasa-kuasa besar lebih kepada ‘tunggu dan lihat’
semata-mata.
Dengan
menduduki kerusi UNSC untuk sekian kalinya, tindak tanduk dalam negara juga
akan sentiasa dalam radar PBB khususnya dan warga dunia amnya.
Sebagai negara
yang mendakap kesederhanaan dalam pendekatan mencapai keamanan dan keselamatan,
usaha ini juga haruslah seiring, jika tidak rakyat Malaysia akan menganggap
kita melebihkan orang luar berbanding rakyat sendiri, kera di hutan disusukan,
anak di rumah mati kelaparan.
Begitu juga
rakyat luar khusunya pendatang asing dari lebih sedozen negara di Malaysia dikhuatiri
akan mengambil kesempatan daripada pendekatan kesederhanaan negara.
Nampaknya
Malaysia mempunyai tugas berat mengimbangi dan menonjolkan aspek kesederhanaan
seperti yang dilaungkan, supaya tidak pula dilabel sebagai ‘cakap tak serupa
bikin’!
Ulasan