SEMANGAT PITAS!
Dari Perlis
sampailah ke Sabah
Kita sudah
merdeka
Negara makmur
rakyat mewah
Kita sudah
berjaya
Itulah
lirik lagu Malaysia Berjaya. Itu dalam
lirik, memang betul kita sudah lebih setengah abad Merdeka, lebih tepat sudah
57 tahun negara merdeka. Kita baru sahaja
meraikan Hari Malaysia yang ke-51.
Penduduk kampung mengusung blog simen dibeli dari pekan Sg. Bengkoka sejauh 3 km (Gambar diambil dari laman Facebook:Pitas Road Project) |
Namun
realiti kehidupan bukanlah seindah dalam lirik lagu. Kisah bagaimana Kerajaan Kelantan berusaha
membina Lebuhraya Rakyat sudah cukup mengusik kita. Sama ada mereka berjaya merealisasikan
pembinaan tersebut adalah satu isu yang lain.
Minggu
lepas pula pecah berita bagaimana para penduduk enam buah perkampungan di Pitas
Sabah yang berusaha membina jalan bagi menghubungkan kampung mereka. Pitas terletak lebih kurang 185 km daripada
Kota Kinabalu.
Khabarnya,
Kerajaan Sabah telah berjanji membina jalan melalui kampung mereka pada tahun
1999 seperti yang dilaporkan dalam akhbar Daily Express pada 5 Ogos 1999. Namun selepas 15 tahun, ia masih tidak
menjadi kenyataan.
Akhirnya
dengan inisiatif para penduduk enam buah kampung mereka sepakat membina sendiri
jalan balak bagi memudahkan para penduduk kampung seramai 3000 orang yang
rata-ratanya berkerja sebagai petani dan pemungut hasil hutan untuk ke Pitas.
Jalan
balak yang dibina dengan inisiatif para penduduk ini bakal menghubungkan enam
buah perkampungan iaitu, Kampung Dowokan, Kampung Mendamai, Kampung Kobon,
Kampung Perupok, Kampung Maliau Pusat dan Kampung Maliau Layung dengan pekan
Pitas.
Anehnya,
apa yang dilakukan oleh ADUN N3 Pitas, YB Datuk Masrani Paiman dan juga Ahli
Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga Timbalan Menteri Pertahanan,
sehingga begitu lama rakyat di bawah DUN mereka terseksa dengan ketiadaan jalan
yang sempurna.
Amatlah
malang jika sebuah negeri seperti Sabah yang memaksa para penduduk mereka
membina jalan sendiri, sepatutnya Ketua Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN kawasan
berkenaan merasa malu dengan ketidak pedulian mereka sehingga rakyat mengambil
keputusan membina prasarana mereka sendiri.
Walaupun
pada mesyuarat kabinet pada hari ini, khabarnya Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Hishamuddin akan membentangkan isu ini untuk perhatian Jemaah Menteri, walaupun
dianggap terlewat dan memalukan kerajaan Barisan Nasional namun adalah lebih
baik daripada sikap para pemimpin kerajaan di Sabah yang kelihatan tidak
melakukan sesuatu sehingga hal sedemikian terjadi.
Apakah
Kerajaan sekarang kurang mekanisme sistematik dalam memastikan sistem penyampaian
yang efisyen. Adakah selepas isu
sedemikian meletus baru tindakan diusulkan.
Lihat sahaja bagaimana selepas mendapat liputan dalam program TV seperti
Bersamamu barulah muncul wakil rakyat atau para pemimpin untuk ambil peduli.
Tidakkah
para pemimpin turun padang dan mengambil tahu serta mendengar denyut nadi
rakyat mereka sendiri!
Ulasan