EKONOMI KEPERLUAN RAKYAT?

Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri semalam kelihatannya tidak ada sebarang perkara yang inovatif malah pendapat peribadi saya ianya hanya bajet yang biasa seperti tahun-tahun sebelumnya.

Keseluruhan bajet bagi tahun 2015 adalah RM273.9 billion, daripada angka tersebut 81.5% atau RM223.4 billion adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM50.5 billion atau hanya kurang 20% adalah perbelanjaan pembangunan.

Secara ringkasnya bajet pada kali ini cuba menumpukan kepada semua pihak sama ada pihak awam, swasta, peniaga kecil dan sederhana malah kepada para nelayan juga.  Nelayan darat seramai 44,000 orang yang memiliki kad e-Nelayan akan menerima RM200 sebulan, manakala elaun sara hidup nelayan Zon A dinaikkan kepada RM300 daripada RM200 sebelum ini.

Lonjakan paling ketara adalah apabila program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dimulakan pada tahun 2012 dengan nilai RM500.00 kini melonjak kepada RM950, kelihatannya seperti kerajaan begitu pemurah.  BR1M bagi tahun 2015 akan dibayar sebanyak 3 kali setahun dengan pecahan RM300 pada bulan Januari dan Mei manakala RM350 pula akan dibayar pada bulan September.

Bajet 2015 berpaksikan tujuh strategi utama bertemakan ‘Ekonomi Keperluan Rakyat’.  Sejauh mana strategi ini berkesan akan dapat dilihat sepanjang tahun 2015.

Golongan belia pula yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 layak menyertai skim pemilikan rumah pertama tidak melebihi RM500,000 dengan bayaran balik sehingga 35 tahun. Namun skim ini hanya terhad kepada 20,000 peserta atas asas siapa yang cepat.

Selain BR1M, bantuan persekolahan RM100 juga diteruskan kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah selain daripada Baucar Buku 1 Malaysia yang kekal pada kadar RM250 untuk manfaat pelajar peringkat tinggi.

Tumpuan juga diberikan kepada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan GST yang bakal bermula pada 1 April 2015.  Walaupun ada pihak yang meragui keberkesanan GST apabila dilaksanakan kelak dengan momokan bahawa akan berlaku peningkatan harga barangan, namun apa yang lebih penting adalah bagaimana pihak-pihak yang diamanahkan pelaksanaannya menguatkuasakan secara lebih efektif.

Beberapa minggu kebelakangan ini beberapa siri tangkapan telah dilakukan terhadap kakitangan Jabatan Kastam yang culas sehingga ribuan jutaan hasil negara terhadap barangan seperti arak dan rokok terlepas dan tiris akibat rasuah.  Dengan pendafataran GST dan tambahan penguatkuasaan diharap dapat membendung ketirisan ini. 

Pelbagai barangan telah diumumkan tidak akan dikenakan GST, misalnya minyak petrol RON95, Diesel dan gas LPG.  Malah bahan-bahan ubatan dan pendidikan dikecualikan daripada GST. 

Namun begitu jangkaan bahawa 56 peratus barang dijangka akan turun harga berikutan pelaksanaan GST hanyalah jangkaan di atas kertas.   Percayalah ianya akan menjadi mimpi dan para Menteri akan bergurindam, “janganlah protes, bersyukurlah” atau dengan madah “masih murah berbanding negara lain”.


Walauapapun yang disogokkan kepada rakyat seperti anda dan saya, percayalah kenaikan bahan api seperti petrol saban kali akan meninggalkan kesan yang bukan sedikit.  Hati sentiasa terbuku apabila pengurangan dan rasionalisasi subsidi adalah bagi menampung pelbagai bantuan ciptaan sebagai gula-gula politik!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bersyukurla...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU