AKAUNTABILITI GAYA WUSHU
Perkataan akauntabiliti bukanlah terma yang
baru di Malaysia. Ianya telah begitu
banyak digunakan, namun ianya menjadi popular ketika negara di bawah
pentadbiran Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri (kini Tun)
Abdullah Ahmad Badawi menerajui kepimpinan negara bermula Oktober 2003 sehingga
Mac 2009.
Walaupun ia menjadi frasa yang kerap
diungkapkan, tidak ramai pula yang mendakap dan menghayatinya, dalam erti kata
lain – cakap tak serupa bikin.
Budaya akauntabiliti di negara-negara maju
seperti Jepun bukan sahaja menjadi teras dan pegangan tetapi adalah yang
tertinggi di dunia. Malah kadang-kadang
dalam menghayati budaya akauntabiliti, nyawa digadaikan dalam apa yang dikenali
sebagai ‘harakiri’.
Malah insiden perletakan jawatan bukanlah
sesuatu yang asing di negara Matahari Terbit itu. Para pemimpin dan kakitangan awam atas rasa
akauntabiliti akan meletakkan jawatan bukan sahaja kerana kesalahan mereka
secara langsung malah yang melibatkan orang bawahan mereka.
Misalnya pada tahun 1998, Menteri Kewangan
dan Timbalan Menteri Kewangan Jepun meletak jawatan masing-masing kerana
mengambil tanggungjawab terhadap skandal yang melanda Kementerian Kewangan
apabila dua orang pegawai mereka didakwa
mendapat imbuhan keraiaan bernilai ribuan dolar.
Di negara kita, budaya akauntabiliti memang
rancak diungkapkan, namun daripada segi penghayatannya masih di tahap yang
sangat rendah.
Misalnya pencapaian di dalam sukan dan
lain-lain acara di pelbagai peringkat sering sahaja ada pihak yang dikorbankan
sebagai kambing hitam atau pun budaya mencari salah pihak yang lain.
Pemenang pingat emas pertama negara di Sukan
Asia Incheon yang baru lalu, yang ditarikbalik pingat emas kerana gagal ujian
doping mengingatkan kita bagaimana pemimpin persatuan sukan mengambil
tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan atlet di bawah mereka.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk
Martin Lim dikhabarkan bakal meletak jawatannya akhir bulan ini.
"Selaku
presiden WFM saya mengambil tanggungjawab penuh. Apa yang berlaku adalah di
luar kawalan kita dan saya harap imej tercalar ini dapat diperbaiki dalam satu
tempoh singkat," katanya.
Ketika
mutu sukan di Malaysia merudum dan menyebabkan gagal mencapai sasaran bagi dua
temasya sukan iaitu Sukan Komanwel di Glassgow dan Sukan Asia di Incheon, rasa
akauntabiliti amat dituntut agar kegemilangan sukan negara dapat ditebus
kembali.
Jika
dilihat prestasi sukan pada Sukan Asia yang lepas, prestasi sukan seperti Sepak
Takraw (sekadar contoh) amat mengecewakan, apatah lagi dengan khabar ketidakhadiran
pengurus pasukan sehingga ke akhir sukan tersebut.
Rasanya,
Kementerian Belia & Sukan yang diterajui oleh YB Khairy Jamaluddin
seharusnya menanamkan budaya akauntabiliti kepada semua pemimpin sukan bagi
menjamin sukan negara lebih bermaruah.
Tindakan
yang diambil oleh Presiden Persekutuan Wushu Malaysia adalah satu contoh
bagaimana seorang pemimpin sukan mengambil tanggungjawab terhadap atlet di
dalam persatuan mereka.
Rasanya
kita masih belum ramai lagi pemimpin sukan yang benar-benar menghayati budaya
akauntabiliti dalam kepimpinan mereka.
Apa yang ada sekarang adalah budaya menyalahkan pihak lain atau budaya
senyap dan ‘menyapu ke bawah karpet’!
Ulasan