BLUSUKAN ALA AZMIN ALI
Pemimpin
dan pengurus mempunyai pelbagai gaya pengurusan. Antara gaya pengurusan yang menjadi sebutan
adalah MBWA (Management by Walking Around).
Ianya digambarkan sebagai teknik pengurusan yang klasik di mana para
pengurus berusaha mendapatkan seberapa banyak informasi dari lapangan.
Kisah
Khalifah Omar Abdul Aziz tercatat dalam sejarah Islam antara pemimpin yang sentiasa
turun padang. Malah bukan itu sahaja,
beliau turun padang dengan cara menyamar supaya identitinya tidak dikenali dan
bagi mendapatkan maklumat setepat dan sebenar mungkin.
Dalam
pentadbiran negara kita, seperti yang pernah dikisahkan oleh almarhum ayahanda
saya adalah kisah Dato’ Hassan Ibrahim (mantan Ketua Pengarah Jabatan
Pengangkutan Jalan) yang banyak kali turun padang dengan cara menyamar. Khabarnya beliau pernah menyamar sebagai ceti
lengkap dengan bedak putih yang digunakan oleh kaum Hindu pada dahi mereka.
Dato’
Hassan Ibrahim adalah juga pengarang yang telah menghasilkan novel Satira,
Tikus Rahmat pada tahun 60an.
Kini
timbul pula kisah Menteri Besar Selangor yang baharu turun padang untuk
mengetahui masalah dan perjalanan pentadbiran di Selangor daripada kaca mata
beliau sendiri.
Khabarnya,
YAB Azmin Ali membuat ‘terjahan’ untuk mengetahui sendiri masalah pungutan
sampah di Selangor. Masalah pungutan
sampah di Selangor telah berlanjutan agak lama seusia dengan masalah air
juga. Sejak penghujung tahun 2012,
masalah kutipan sampah telah mula timbul dengan pelbagai pendekatan dan kaedah
bagi membendung masalah ini, namun masih tidak begitu efektif.
Semalam,
dilaporkan melalui media sosial bagaimana Menteri Besar Selangor yang baru ini
tidak teragak-agak untuk mengotorkan bajunya bagi melihat sendiri aspek kutipan
sampah di Selangor. Walaupun akan ada pemimpin
khususnya daripada kalangan pembangkang di Selangor yang akan beranggapan
tindakan YAB Azmin Ali sekadar publisiti, namun jangan lupa ianya bukan sekadar
‘cakap tak serupa bikin’.
Kisah
blusukan (istilah Indonesia bermaksud turun padang) digunakan kepada Jokowi
ketika beliau menjadi Gabenor Jakarta beberapa ketika dahulu. Kisah para pemimpin dan pengurus turun padang
sepatutnya menjadi amalan, pernah juga para pemimpin negara menggunakan pengangkutan
awam untuk merasai sendiri pengalaman rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Namun,
kadang-kadang kisah blusukan atau turun padang mungkin tidak lebih daripada
gimik politik dan retorik semata-mata.
Model
kepimpinan Saidina Umar Al-Khatab yang sentiasa turun padang melihat rakyatnya
pada waktu malam ketika mereka sedang tidur dan terserempak dengan seorang
wanita tua yang sedang memasak sesuatu, yang pada ketika itu sebenarnya sedang
merebus batu untuk anak-anaknya yang sedang kelaparan.
Kerana
prihatin dengan nasib tidak terbela wanita tua tersebut, Khalifah Umar membawa
sendiri keperluan wanita tersebut sehingga diungkapkan wanita itu “sesungguhnya
tuan yang sepatutnya menjadi Amirul Mukminin, bukannya Umar AlKhatab”.
Samada
YAB Azmin Ali benar-benar ikhlas melakukan perkara yang dilakukan bukanlah
soalnya. Itu urusan beliau dengan Allah
SWT, namun harapannya akan lebih ramai daripada kalangan pengurus dan pemimpin
di semua peringkat melakuan amalan turun padang secara konsisten untuk
mengetahui sendiri denyut nadi rakyat.
Jangalah selepas paparan di dalam program realiti seperti Bersamamu,
baru berduyun-duyun bantuan tiba.
Pegawai-pegawan pusat zakat, baitulmal dan kebajikan masyarakat juga
harus sentiasa turun padang untuk mengesan dan mengagihkan bantuan seawal
mungkin.
Secara
peribadi tindakan MB Selangor yang baru,
mungkin akan membuka mata kakitangan awam di peringkat negeri untuk sentiasa
bersiapsiaga untuk tidak ‘diterjah’ oleh Menteri Besar.
Tahniah
YAB Datuk Menteri Besar Tuan Azmin Ali!
Ulasan