MENTERI TAK PAYAHLAH MINTA LAPORAN, TURUNLAH PADANG!


Sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambilalih tampuk pemerintahan pasca Pilihanraya Umum ke-14, saya sedikit terganggu.  Saya tidak sangat kisah mengenai janji manifesto yang tidak dipenuhi, kerana khabarnya bukan kitab suci, begitu juga apabila presiden parti menegaskan ‘dia tidak akan meminta maaf’ pada rakyat.  Saya tidak sangat terkesan dengan perkara-perkara semacam itu.

Yang menggangu saya adalah perihal menteri yang ‘meminta laporan’ mengenai sesuatu keadaan.  Yang terbaru adalah Menteri Pendidikan, yang meminta laporan mengenai keadaan sekolah sukan, SMK Seri Titiwangsa yang dilaporkan oleh akhbar sebagai daif daripada segi kemudahan latihan dan penginapannya.

Hal tersebut telah pun dilaporkan dalam akhbar, rakyat telah pun mengetahuinya, malah ibu bapa para pelajar yang terlibat tentu juga lebih akur mengenainya kerana tentulah dikongsi bersama oleh anak-anak mereka.

Setelah semua hal itu, apa perlunya Menteri meminta laporan, bukankah lebih baik Menteri membuat lawatan mengejut (spotcheck) ke sekolah tersebut dan melakukan tindakan proaktif.  Sekolah yang dimaksudkan atau pun mana-mana sekolah di Malaysia pun masih boleh dikunjungi hatta yang pedalaman Sabah sekalipun.

Budaya kerja patut berubah, apatah lagi Menteri Pendidikan menerajui dua buah kementerian yang digabungkan, tentulah beban kerja menjadi lebih besar.

Ketika kita sedang mencipta nama yang harum dalam  bidang sukan di peringkat antarabangsa, keadaan sebuah sekolah sukan seperti yang dilaporkan dalam akhbar, adalah perkara terakhir yang patut mengetuk minda kita.

Ibu-bapa tentulah mengharapkan anak-anak mereka cemerlang dalam sukan yang telah mereka ceburi sehingga terpilih menyertai sekolah sukan.

Budaya meminta laporan dan laporan akan memaklumkan hal-hal yang muluk patutnya tiada dalam kamus pentadbiran Malaysia Baharu. 

Jangan ulangi kesilapan pimpinan yang lalu yang hanya mahu mendengar apa yang mereka mahu dengar bukannya apa yang patut mereka dengar! 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?