SANGGUPKAH MENJILAT LUDAH?
Rakyat
Malaysia seperti sudah lupa kewujudan parti terbesar yang mewakili kaum Cina
dalam gabungan Barisan Nasional – MCA.
Apa tidaknya selepas hampir tiga bulan pasca Pilihanraya Umum ke-13,
masih tidak mempunyai wakil MCA dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Walaupun
kerusi Menteri Pengangkutan yang diperuntukkan kepada MCA kini masih dipangku
oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga merupakan Menteri Pertahanan,
namun MCA masih berpegang kepada resolusi dan pendirian mereka.
Kini, pada
musim menjelang perayaan seperti sambutan Aidil Fitri, Datuk Seri Hishamuddin
muncul dalam iklan Kementerian Pengangkutan dalam kapasiti beliau sebagai
pemangku Menteri Pengangkutan, sesuatu yang lazimnya menjadi tradisi Menteri
Pengangkutan daripada MCA sebelum ini.
Resolusi
yang dibuat pada Perhimpunan Agungnya pada 2011 dan 2012 bahawa mereka tidak
akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya keputusan dan prestasi
mereka dalam PRU 13 lebih buruk daripada PRU 12. MCA berharap dengan menerima resolusi ini
akan mengubah dan meningkatkan sokongan masyarakat Cina kepada parti itu,
sebenarnya meleset kerana masyarakat Cina jelas menolak MCA dalam PRU 13 dengan
hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Kumpulan NGO
Cina pula berharap MCA akan mengubah keputusan dan pendirian parti itu dan
menerima jawatan kerajaan. Dalam sesi
dialog ‘Interaksi Mengenai Reformasi MCA dan Masa Depan Masyarakat Cina’ yang
diadakan baru-baru ini kumpulan NGO Cina mengemukakan isu ini. Sebanyak 58 NGO Cina daripada semua sektor
termasuk perdagangan, industri dan pendidikan menyertai dialog ini.
Menurut
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata:
"Mereka telah menyatakan pandangan
dan berpendapat bahawa MCA boleh membantu masyarakat Cina untuk menyelesaikan
banyak isu yang melibatkan mereka dan mempunyai peranan penting dalam membantu
kerajaan untuk menggubal dasar-dasar untuk kebaikan negara ini. Oleh itu, mereka rasa adalah wajar MCA perlu
hadirkan diri dalam Kabinet,"
Membiarkan
masyarakat Cina tidak diwakili dalam kabinet dan kerajaan adalah sesuatu yang
merugikan kaum itu, namun selain daripada desakan dan pandangan daripada NGO
Cina, sebenarnya MCA perlu menggembelingkan para pemimpinnya di semua peringkat
untuk sedar betapa pentingnya mempunyai wakil dalam Kerajaan.
Jika
resolusi dibuat dalam Perhimpunan Agungnya, maka yang lebih wajar dan
sepatutnya adalah membuat resolusi bagi menerima jawatan dalam kerajaan dan
membatalkan resolusi sebelumnya. Soalnya
adakah para perwakilan dan para pemimpin MCA sanggup untuk melakukannya demi survival kaum Cina keseluruhannya.
Memanglah
‘berpatah balik’ dalam hal ini menjadi bahan tertawa dan jenaka pakatan
pembangkang, namun yang lebih penting adalah kaum Cina di Malaysia mempunyai
wakil mereka dalam Kerajaan, supaya para pengundi yang mengundi dan menyokong
MCA dalam PRU 13 yang lalu diwakili suara mereka. MCA, Selamat menjilat ludah!
Ulasan