FILEM KENCING SHUHAIMI, KENCING FILEM NAMEWEE!
Ketika kecoh mengenai filem Tanda Putera yang telah beberapa kali
ditangguhkan tayangan umumnya di pawagam, pengarahnya Shuhaimi Baba menegaskan
bahawa filem tersebut adalah berdasarkan fakta sejarah.
Filem ini sepatutnya menemui
penonton di pawagam pada 13 September tahun lalu, namun ditangguhkan atas
alasan bahawa tarikh tersebut tidak sesuai untuk menggalakkan penonton ke
pawagam.
Tayangan umum yang dicadangkan
kemudiannya pada bulan November juga tidak menjadi. Namun beberapa tayangan terhad telah diadakan
di sana sini, antaranya kepada warga peneroka FELDA seramai hampir 3000 orang
di PWTC, selain tayangannya juga di UIAM Gombak.
Filem ini mengundang polemik yang
bukan sedikit. Khabarnya sebagai sebuah
filem ‘politik’ banyak adegan yang kononnya diangkat daripada fakta telah
mengundang pelbagai persepsi khususnya daripada pihak pembangkang. Pun begitu, Shuhaimi Baba menafikan filem Tanda Putera adalah sebuah filem ‘politik’.
Walaupun dikhabarkan bahawa
insiden 13 Mei antara yang menjadi intipati filem ini, namun filem ini menggambarkan
persahabatan dan perjuangan dua negarawan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail.
Filem Tanda Putera khabarnya menggambarkan adegan seorang berbangsa Cina
yang kencing di tiang bendera di hadapan rumah Datuk Harun Idris, ketika itu diberikan
‘gambaran’ bahawa watak tersebut seperti Lim Kit Siang, yang kononnya menurut
pengarahnya adalah daripada ‘fakta sejarah’.
Itu cerita ketika belum berlangsungnya Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei
lalu.
Kini, hampir kepada tayangan
umumnya pada 29 Ogos nanti, lain pula ceritanya, kononnya pengarahnya
menggunakan ‘lesen kreatif’ untuk menghidupkan ceritanya, dan kononnya kisah ‘kencing’
di tiang bendera di hadapan rumah Datuk Harun Idris hanyalah kutipada daripada
cerita-cerita lisan!
Apabila pembikin filem Namewee
yang menghasilkan Kara King dengan
salah satu adegan ‘Cina kencing Melayu’ tiba-tiba kita melenting. Apakah kita tidak sedar apabila pengarah
Melayu sendiri ‘berdolak dalik’ dengan adegan Cina kencing di tiang bendera di
hadapan rumah Menteri Besar, yang tidak diketahui kesahihanya kecuali ‘dikutip’
daripada percakapan lisan dan ‘ingat-ingat lupa’ mereka yang melalui zaman
tersebut.
Mungkin Namewee mempunyai
agendanya tersendiri yang sebenarnya kita semua sedia maklum, namun apabila
kecoh mengenai filem Tanda Putera dan
adegan kencing, bukankah Namewee mewakili kaum yang digambarkan ‘kencing’ di
tiang bendera akan juga melakukan perkara yang sama!
Adakah lesen kreratif Shuhaimi
Baba dan Namewee tidak sama kelasnya? Janganlah
kita berselindung di sebalik lesen kreatif dan menjadi agen ‘propaganda’ kepada
sesuatu pihak. Kini apabila Namewee melalui Kara King nya digambarkan sebagai ‘kurang
ajar’ kepada orang Melayu, maka kita pun cepat melenting sambil menjerit-jerit
sipolan harus ditarik kerakyatannya.
Tanda Putera filem ‘kencing’ oleh Shuhaimi Baba, Kara King pula ‘kencing’ filem buah
tangan Namewee, maka kita pun bertanya sampai tahap mana ‘lesen kreatif’ terus
disalah guna?
Ulasan