APA KHABAR RINGGIT?
Pasca PRU ke 13 yang berlangsung pada 5 Mei yang lalu,
maknanya pada 15 Ogos yang lalu usia pentadbiran Perdana Menteri telah mencapai
100 hari. Lazimnya setiap pemimpin
melalui ujian ‘pemantauaan’ 100 hari yang lumrah.
Namun pada fasa kedua pentadbiran Perdana Menteri tidak
banyak yang dilakukan selepas 100 hari berbanding yang dilakukan oleh beliau
sewaktu mengambilalih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri ke-6 pada
tahun 2009 daripada Pak Lah.
Sebenarnya bukan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri
sahaja yang perlu dilihat dalam tempoh 100 hari tetapi apa yang berlaku
sekeliling kita. Tudinglah apa sahaja,
daripada kes jenayah yang dilaporkan saban hari, sehingga kepada perangai
Menteri yang ‘tidak faham bahasa’, isu TPPA, dan kini yang lebih membimbangkan
adalah apabila Ringgit berada dalam keadaan yang lemah.
Namun seperti isu TPPA yang tidak banyak diketahui
sehinggalah kepada rundingan kali ke-18 yang berlangsung di Kota Kinabalu,
barulah pelbagai suara yang bangkit menentang isu tersebut. Kelemahan ringgit tidak banyak dikhabarkan
dalam akhbar khususnya akhbar arus perdana berbahasa Melayu.
Apakah muslihat, ‘downplay’
ini oleh akhbar-akhbar arus perdana Melayu, tidak diketahui, mungkin bagi
menjaga politik para pemimpin UMNO khususnya menjelang persidangan UMNO nanti.
Ringgit merosot sehingga 0.4% kepada 3.272 setiap dolar
Amerika, yang paling rendah sejak Jun 2010.
Nilai Ringgit juga menurun berbanding British pound, Euro dan mata wang
asing utama yang lain.
Agensi rating global,
Fitch Ratings telah pun menurunkan pengkadaran kredit Malaysia daripada ‘stabil’
kepada ‘negatif’ tidak lama dulu.
Selepas 100 hari, tentulah anda dan saya ingin melihat
Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan memberikan jaminan ekonomi yang lebih
mapan selain daripada hanya mengungkapkan “Kerajaan tahu apa yang perlu
dilakukan”, jika tidak ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang telah
diturunkan dari 5.6% kepada 5.1% oleh Bank Dunia akan terus merudum.
Zaman ‘mengkosmetik’ angka kepada yang lebih muluk telah
lama berlalu, Malaysia sebagai sebuah negara tentulah menjadi tumpuan dunia
luar, apatah lagi ia juga terlibat dalam rundingan TPPA yang diinisiatifkan
oleh Amerika.
Dengan perkembangan dan kemampuan capaian internet dan media
sosial, hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi dan kelemahan kewangan negara
tidak lagi mudah disembunyikan.
Di sana sini telah mula mendengar rungutan bagaimana para
ibu bapa yang anak mereka belajar di luar negara mula merasakan bahangnya. Apa tidaknya, tukaran wang yang dikirim
kepada anak mereka mula mengecut dan memerlukan lebih banyak Ringgit untuk
memberikan nilai yang sama diberikan beberapa bulan yang lalu.
Perdana Menteri dan Kerajaan seharusnya mengambil langkah
proaktif agar Ringgit kita akan lebih kukuh, itu pun jika tidak perlu
memikirkan apakah kerusi Presiden UMNO akan dipertandingkan atau tidak!
Ulasan