POPULIS, PTPTN & CCRIS

Jika Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berhasrat untuk mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan Oktober ini, tentulah beliau akan kecundang dan tidak terpilih.

Dengan amaran tegas kepada peminjam yang gagal melunaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenaraikan mereka dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS), tentulah dianggap tidak popular.

Namun menjadi Menteri yang populis dan membiarkan belenggu ‘hutang’ PTPTN menjadi barah bukanlah pilihan Menteri Pendidikan II itu.  Saya tidak menyokong tindakan yang disyorkan oleh Menteri tersebut namun percaya amanah yang diberikan kepada beliau tentulah tidak akan disalahgunakan dan menyebabkan para mahasiswa menjadi mangsa.

Malah langkah menyenaraikan dalam CCRIS tentulah merupakan langkah terakhir selepas semua tindakan ‘pujuk’ dan nasihat tidak membuahkan hasil.  Namun begitu banyak pihak yang beranggapan bahawa tindakan menyenaraikan CCRIS adalah sangat drastik dan bakal mengundang masalah sampingan yang lain pula.

Pemuda UMNO, PKR dan PAS juga membantah tindakan ini.  Sebenarnya bukan susah untuk meneka mengapa banyak pihak yang membantah penyenaraian dalam CCRIS ini kerana ianya akan memberikan implikasi negatif kepada mereka yang disenaraikan dalamnya.

Menurut Pengarah Strategi PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, menyifatkan para peminjam PTPTN yang disenaraikan dalam CCRIS seperti ‘jatuh ditimpa tangga’, apa tidaknya dengan penyenaraian dalam CCRIS, ia bakal menyebabkan institusi kewangan akan menjadikan hutang PTPTN sebagai satu lagi kriteria dalam kelulusan pinjaman lain seperti pinjaman perumahan, kenderaan dan pinjaman peribadi.

Pemuda UMNO pula dikhabarkan akan menghantar notis bantahan rasmi berhubung tindakan PTPTN ini, di samping mengingatkan PTPTN supaya tidak membebankan graduan dengan tindakan penyenaraian ini.

Menyenaraikan para peminjam PTPTN dalam CCRIS bukanlah sesuatu yang dianggap ‘bijak’ ini kerana PTPTN seharusnya mengkaji mengapa ramai peminjam masih gagal melunaskan pinjaman mereka.  Adakah kaedah bayaran balik yang tidak begitu ‘memberangsangkan’ atau kerana ramai mahasiswa sebenarnya masih tidak mempunyai pekerjaan yang stabil untuk membolehkan mereka mula membuat bayaran semula.

Walaupun usaha PTPTN menyenaraikan peminjam ingkar dalam CCRIS, adalah bagi menggalakan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada peminjam lain pula, sebenarnya tidak banyak membantu.  Mungkin PTPTN perlu memikirkan kaedah lain bagi mencapai tujuan ini.

Dengan isu pemansuhan PTPTN yang dinyatakan dalam manifesto pembangkang yang tidak dapat direalisasikan kerana kegagalan pembangkang untuk  membentuk Kerajaan di peringkat Persekutuan, para mahasiswa sebenarnya beranggapan bahawa PTPTN tidak sepatutnya membebankan mereka.  Namun dengan langkah yang diumumkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh nampaknya para mahasiswa dikhabarkan akan membuat demonstrasi membantah tindakan terbaru PTPTN yang diumumkan oleh Menterinya.

Nampaknya Datuk Seri Idris Jusoh mempunyai tugas berat untuk mengimbangi keperluan untuk meningkatkan bayaran balik PTPTN, menjaga hati para mahasiswa dan menawarkan diri untuk dipilih sebagai salah seorang daripada 25 ahli Majlis Tertinggi UMNO menjelang pemilihan Oktober nanti. 


Adakah beliau bersedia untuk bersifat lunak selepas diasak oleh pelbagai pihak?  Hanya keinginan untuk berada sebagai salah seorang daripada 25 Ahli MT sahaja yang mampu menggugahnya!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
DIJ sekadar test water aja kot..
sarip dol berkata…
kabinet tolak cadangan DIJ..apa selpas ini..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU