BEZA APA NAMEWEE, MCA & UMNO?

Ketika ini kecoh mengenai isu filem Cina tempatan berjudul The New Village.  Isunya timbul apabila filem ini yang telah mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) disekat tayangannya kerana ada ahli UMNO yang berpendapat bahawa filem ini mengagungkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Filem The New Village arahan Wong Kew Lit dikhabarkan mengagungkan Parti Komunis Malaya, malangnya pihak-pihak yang mendakwanya gagal melihat daripada perspektif sejarah.  Adakah mereka tidak sedar bahawa serpihan ahli-ahli PKM sebenarnya bersembunyi di kampung-kampung baru Cina ketika itu, malah dalam sesetengah keadaan menjadikan masyarakat Cina di kampung-kampung baru sebagai tebusan mereka untuk mendapatkan keperluan hidup.

Kemarahan Namewee mungkin ada asasnya walaupun tidak diketahui di mana penglibatan Namewee dalam filem The New Village ini.  Apakah Namewee bertolak daripada sentimen sesama pembikin filem yang merasakan bahawa tindakan terhadap filem The New Village adalah bersifat dwi standard apabila kelulusan LPF telah diberi dan kemudiannya disekat semula tayangannya, sebagai sesuatu yang tidak adil.

Apakah rasional filem ini disekat apabila skrip asalnya telah diluluskan, kelulusan LPF juga telah diperolehi.  Adakah adegan menonjolkan mengagungkan komunis dalam 'trailer promo' filem ini dijadikan asas untuk menyekat tayangannya?

Dengan menyekat tayangan filem ini atau filem-filem lain yang diangkat daripada catatan sejarah seolah-olah Kerajaan cuba untuk menyunting sejarah mengikut selera mereka.  Sejarah harus dipaparkan dalam realiti yang sebenarnya supaya menjadi pengajaran kepada generasi sekarang.

Malah bukankah UMNO juga menjalinkan hubungan dengan Kerajaan China dan Parti Komunis China yang menerajui negara China pada masa ini, malah kini timbul pula parti Cina terbesar di Malaysia yang merupakan sekutu UMNO, MCA juga berminat untuk mempelajari daripada Parti Komunis China, adakah pihak-pihak yang membantah tayangan The New Village sedar bahawa secara tidak langsung Parti Komunis Malaya yang wujud di negara kita pada masa dahulu adalah 'anak' kepada Parti Komunis China yang telah berusia lebih 90 tahun?

Namewee yang mencetuskan kontroversi melalui lagu Negaraku yang diubahsuai menjadi Negarakuku, sebenarnya telah lama mengecam sistem dwistandard yang diamalkan secara tidak langsung kepada rakyat di negara ini.  Biarlah kita melihat realiti dan asas kemarahannya, sekurang-kurangnya Namewee berani bersuara bagi pihak rakan sekreatif dan sebangsa dengannya yang jelas menunjukkan semangat bersatu dan setiakawan yang ditunjukkan oleh kaum Cina.

Sikap Namewee sepatutnya ditegur dari dulu, seperti yang diungkapkan oleh P. Ramlee dalam filem ‘Anakku Sazali’   … Jikalau 10 tahun dahulu bapak melakukan sedemikian, barangkali Sazali boleh jadi baik sekarang....tetapi bapak hanya…’Anakku Sazali’.. bapak yang bertanggungjawab atas segala kelakuan buruk dan baik Sazali...”
                                                                    
Saranan PERKASA agar kerakyatan Namewee ditarik balik tidak mungkin menyelesaikan kemelut ini, pihak-pihak yang terlibat dengan teguran Namewee harus melihat dan muhasabah diri mereka berhubung dakwaan dwistandard seperti yang dinyatakan berbanding melemparkan tuduhan demi tuduhan kepada karyawan seperti Namewee.

Adakah apa yang diungkapkan Namewee adalah dakwaan palsu atau realiti yang sebenarnya merobek ego para pemimpin di negara ini? Sepatutnya Namewee dihukum bukan kerana insiden ini tetapi insiden penghinaan lagu Negaraku yang dilakukannya pada tahun 2007.  Seperti dialog dalam filem The New Village  - “ini tanahair kita, kita mesti berjuang”, itulah yang sebenarnya dilakukan oleh Namewee.


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
1maaflah jgn samakan namewee dan umno..
Tanpa Nama berkata…
rasanya TNV hanya sebuah kisah cinta antara dua darjat org kmapung dan komunis ..tapi ngapa disekat ..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU