APALAH ERTI PUASA TANPA KURMA?
Katalah apa sahaja, puasa tanpa kurma memang tiada
ertinya. Sekurang-kurangnya itulah
tanggapan peribadi saya ketika ingin menyambung puasa di bulan Syawal pula,
selepas merasa bahang rumah terbuka sudah mulai surut, saya bercadang berpuasa
dalam bulan Syawal pula. Tiba-tiba
sahaja terpacul pertanyaan ‘ada kurma tak’, bila dimaklumkan bekalan kurma
Ramadan saya telah pun habis, saya menangguhkan hasrat berpuasa bulan Syawal
saya.
Memanglah kurma dan puasa tidak mempunyai konotasi yang
begitu kukuh, namun pada saya kurma dan puasa seolah-olah sangat sinonim,
seperti ‘irama dan lagu’ atau apa sahaja aksiom lain yang menggambarkan
keakraban kedua-duanya.
Pada sebahagian orang berpuasa, puasalah aja, apa ada kena
mengena dengan kurma, seolah-olah kurma tidak melengkapkan puasa pula. Itu pandangan orang lain, dan bukan pandangan
peribadi saya. Malah saya meletakkan
kurma dan puasa sebagai satu kemestian, berpuasa mesti ada kurma titik.
Jadinya apabila saya mula menyambung puasa Syawal saya,
mestilah ada kurma sama seperti berpuasa dalam bulan Ramadan atau berpuasa pada
bila-bila masa sahaja.
Pergolakan di Mesir yang kini telah menjangkau hampir
setahun yang dimulai dalam bulan November 2012 yang lalu, kelihatannya semakin
meruncing.
Pergolakan di mana-mana negara adalah lumrah, namun apa yang
lebih menyedihkan adalah bagaimana tentera digunakan untuk melakukan ‘rampasan
kuasa’ dan mengulingkan seorang pemimpin yang telah dipilih melalui proses
demokrasi.
Pergolakan di Mesir di antara puak penyokong Morsi dan
pembangkang serta pihak tentera dan Ikhwanul Muslim, bakal mengundang perang
saudara yang berpanjangan.
Kini warga seluruh dunia, dengan suara ‘kuasa-kuasa besar’
menyuarakan kebimbangan mengenai apa yang berlaku di Mesir. Sama ada suara
mereka yang nyaring sebenarnya adalah suara ‘tulin’ yang benar-benar menentang
apa yang dilakukan oleh pihak tentera Mesir atau sekadar melengkapkan
suara-suara sedia ada.
Di Malaysia, nampaknya tidak banyak yang dilakukan oleh
Kerajaan, mungkin lebih mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dari masa ke
semasa. Walaupun ada usaha yang dirintis
oleh pembangkang seperti PAS dalam mengutuk tindakan ‘kudeta’ oleh tentera di
Mesir, namun usaha ini tentulah tidak begitu menyerlah tanpa penglibatan pihak
Kerajaan.
Malah usaha membincangkan usul mengutuk kekejaman tentera
Mesir ke atas orang awam serta memulihkan semula demokrasi di sana telah
ditolak oleh Speker DUN Johor pada persidangan mereka. Apakah asas penolakan ini tidaklah diketahui. Mungkin tidak mahu dilihat bahawa usul ini
dibawa oleh pihak pembangkang.
Hanya baru beberapa hari ini, dikhabarkan Malaysia mendesak
Pertubuhan Negara Islam (OIC) untuk memanggil mesyuarat bagi membincangkan
pergolakan di Mesir ini.
Sebagai sebuah negara Islam, tentulah kita merasa terkesan
apabila saudara seagama kita dianiyai sebegitu rupa oleh pihak tentera dalam
bentuk yang mencabar demokrasi. Apatah
lagi, Mesir sejak dahulu merupakan antara destinasi para pelajar Malaysia
melanjutkan pelajaran.
Selain menyatakan kebimbangan terhadap apa yang berlaku, Kerajaan
juga perlu mengambil sikap dan
menyatakan pendirian berhubung cara bagaimana pergolakan di Mesir dimulakan.
Menganggap sebagai sebuah negara Islam, dengan majoriti
rakyat Islam, dipimpin oleh para pemimpin Islam, tentulah kita merasa amat ‘malu’
dengan apa yang berlaku di sebuah negara Islam yang lain. Apalah ertinya menganggap diri negara Islam
jika kita sekadar berpeluk tubuh dan lambat berbuat sesuatu kerana bimbang
dengan kuasa-kuasa besar di sekeliling kita.
Seperti juga pendirian peribadi saya, apalah erti berpuasa
tanpa kurma. Meminjam ungkapan pelawak Nabil – lu pikirlah
sendiri!
Ulasan