CATATAN SEORANG DEMONSTRAN
Pedulilah jika saya tidak
pernah berdemonstrasi atau menyertai mana-mana acara demonstrasi di negara
kita. Mungkin tidak semua orang
mempunyai kecenderungan untuk berdemonstrasi, walaupun ada yang akan menganggap
mereka yang tidak menyertai demonstrasi sebagai tidak cukup ‘jantan’. Itu adalah tafsiran masing-masing.
Namun mungkin penglibatan
secara tidak langsung sebagai blogger, saya ditanyakan seorang rakan sama ada
mahu memiliki buku ‘Catatan Seorang
Demonstran’ nukilan Soe Hok Gie, seperti orang disorongkan bantal, saya
segera megiyakan dengan harga RM60.00.
Soe Hok Gie dilahirkan pada
17 Disember 1942, lahir dan membesar dalam lingkungan ‘Cina’ Jakarta. Gie yang
merupakan seorang mahasiswa Fakulti Sejarah di Universiti Indonesia adalah
seorang aktivis yang merupakan pengasas kumpulan pencinta alam di Universiti
Indonesia yang antara lain aktiviti mereka adalah mendaki gunung.
Buku ‘Catatan Seorang Demonstran’ terbitan pertama kali pada tahun pada
1983 jauh sebelum aktiviti berdemonstrasi menjadi hiasan akhbar di Malaysia
pada ketika itu, sebenarnya diangkat daripada catatan harian dan
tulisan-tulisan penulisnya di akhbar, yang kelihatannya seperti seorang yang
sangat ‘restless’ dan ‘loner’.
"Akhir-akhir ini saya selalu berpikir, apa gunanya semua yang saya
lakukan ini. Saya menulis, melakukan kritik kepada banyak orang yang saya
anggap tidak benar dan yang sejenisnya lagi. Makin lama, makin banyak musuh
saya dan makin sedikit orang yang mengerti saya. Dan kritik-kritik saya tidak
mengubah keadaan. Jadi apa sebenarnya yang saya lakukan? Saya ingin menolong
rakyat kecil yang tertindas, tapi kalau keadaan tidak berubah, apa gunanya
kritik-kritik saya? Kadang-kadang saya merasa sungguh-sungguh kesepian"
Buku ini sarat pemikiran Gie
sebagai seorang mahasiswa dan rakyat
Indonesia yang sayangkan bangsanya.
Kehidupan rakyat Indonesia pada tahun-tahun 60an di waktu pemerintahan
Sukarno merupakan antara intipati dalam Catatan
Seorang Demonstran.
Fasa terpenting dalam
kehidupan Soe Hok Gie sebagai demonstran yang dimulai dengan ‘rebel’ nya ketika gurunya menurunkan
markah daripada yang terbaik kepada ketiga terbaik dalam kelasnya.
“Aku percaya setidak-tidaknya aku yang terpandai
dalam Ilmu Bumi dari seluruh kelas.
Dendam yang disimpan, lalu turun ke hati, mengeras sebagai batu”
Soe Hok Gie sejak remajanya
telah membenci dan menentang ketidakadilan di sekelilingnya.
Malah sebagai mahasiswa dan
berjiwa muda, Soe Hok Gie tidak dapat lari daripada runtunan jiwa mudanya,
bercinta dan dicintai walau tidak satu pun daripada rakan wanitanya menjadi
intim dan menjadi kekasihnya. Kehidupan
mahasiswanya seolah-olah lengkap dengan pelbagai insiden, daripada berparti,
berpuisi, filem, politik dan masalah remeh teman-temannya, malah sesekali
hanyut dalam keintiman lelaki wanita dan filem biru!
Kisah hidup Soe Hok Gie lewat
Catatan Seorang Demonstran telah
diadaptasi ke layar perak melalui filem ‘Gie’
arahan Riri Reza pada tahun 1985. Filem ini memenangi tiga anugerah di Festival
Filem Indonesia pada tahun 1985, antaranya Filem Terbaik, Pelakon Lelaki
Terbaik (Nicholas Saputra) dan Sinematografi Terbaik oleh Yudi Datau.
Soe Hok Gie yang gemar
menyimpan catatan hariannya sejak di zaman kecil sehingga beliau meninggal
dunia pada 16 Disember 1969 pada usia 27 tahun akibat terhidu asap beracun ketika berekspedisi ke
Gunung Semeru, adalah seolah-olah
seorang pencatat di zamannya.
Membaca Catatan Seorang
Demonstran seperti ada yang tertinggal kerana ada catatan yang ditiadakan atas
alasan yang tidak dinyatakan secara khusus tetapi sebagai ‘hilang’ kerana jarak
masanya yang lama daripada manuskrip ‘cuba terbit’ dan manuskrip akhirnya.
Soe Hok Gie yang idelis,
jujur dan berani lewat catatan harian, tulisan-tulisan yang dihantar ke
pelbagai penerbitan mempunyai pengikut dan pengkagumnya tersendiri malah
ulasan-ulasan dalam seminar dan Radio Universiti Indonesia dikuti oleh ramai
golongan muda Indonesia ketika itu.
Catatan Seorang Demonstran
sekurang-kurangnya akan meletakkan jurang yang besar antara seorang yang
berfikir untuk melakukan dan yang benar-benar in action seperti Soe Hok Gie!
Ulasan