BERAKHIR RAMADHAN, SALAM AIDIL FITRI
Selepas berbuka puasa hari ini akan berlabuhlah Ramadhan 1434H,
menjelang pula 1 Syawal Hari Raya Aidil Fitri.
Ramadhan yang merupakan bulan tunggal yang disebut di dalam Kitab Allah
SWT, Al-Quran menjanjikan pelbagai nikmat dan anugerah Allah SWT.
Pelbagai insiden tercetus ketika Ramadhan pada tahun ini, umat Islam
diuji dengan pelbagai ujian dunia dan akhirat.
Kisah blogger Alvin dan Vivien dengan ucapan selamat berpuasa dan bak
kut teh halal merobek hati umat Islam di Malaysia yang dianggap penghinaan
kepada mereka.
Walaupun kini merekatelah dibebaskan sementara menunggu tarikh
perbicaraan, namun ramai berpendapat menyumbat mereka ke penjara sementara
menunggu tarikh perbicaraan dianggap ‘berlebih-lebihan’ namun demi keharmonian
agamadan kaum di Malaysia mungkin hakim mempunyai asas dan pertimbangan
sendiri. Kini ibu blogger Alvin
puladipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi
& Multimedia Malaysia (SKMM).
Selepas reda daripada insiden Alvian & Vivien, timbul pula
insiden ‘mewudhukan anjing’ dengan iringan lagu dan takbir raya. Timbalan Perdana Menteri dengan segera
memberi amaran ‘selimut’ kepada semua mereka yang mempersenda dan menghina umat
Islam di Malaysia, akhirnya bila diketahui kebenarannya bahawa subjek yang
terlibat adalah seorang wanita Islam.
Walaupun paparan ini telah berusia lebih tiga tahun, namun banyak
pihak yang merasakan kurang senang dengan perlakuan wanita Melayu dan Islam
dalam paparan ini. PihakJabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula memberikan
pandangan setelah diminta oleh SKMM.
Namun pandangan JAKIM ini dibantah oleh dua orang peguam yang mewakili wanita tersebut.
Soalnya, walaupun JAKIM tidak mempunyai kuasa perundangan seperti
yang didakwa oleh peguam, namun sebagai badan yang diberi amanah tentulah dalam
bidang kuasa JAKIM untuk memanggil dan memberikan nasihat apatah lagi melibatkan
si pelaku beragama Islam.
Sebenarnya isu anjing dan umat Islam di Malaysia perlukan satu
penjelasan yang konkrit dan tegas, ini kerana umat Islam membuat pelbagai
tafsiran dan ‘menghalalkan cara’ mengenai urusan sama ada menjadikan anjing
sebagai binatang peliharaan mahupun sebagai satu usaha menyelamatkan anjing
terbiar seperti yang dilakukan oleh Maznah Yusuf atau ‘Chetz’.
Di Kedah pula terdapat pasangan Islam, Pak Mie dan Mak Intan yang
dikhabarkan membela dan menjaga ratusan anjing dan kucing di kediaman mereka,
malah terdapat pula gambar yang menunjukkan pasangan ini memeluk anjing yang
dikategorikan sebagai najis mughallazah. Paparan mengenai pasangan ini tersebar
luas, malah tersiar juga di majalah Mastika baru-baru ini.
Jika pihak-pihak yang berwajib mengenai agama tidak melakukkan
sesuatu atau memberikan penjelasan sewajarnya dikhuatiri akan dianggap
memelihara anjing sebagai sesuatu yang lumrah.
Tidak cukup dengan itu, artis beragama Islam juga dikhabarkan memelihara
dan bermesra dengan anjing seperti tidak rasa bersalah, walaupun memelihara
anjing bukanlah merupakan satu kesalahan namun dengan status anjing sebagai ‘najis
mughallazah’ pihak-pihak berwajib wajar memberikan penjelasan dan kefahaman
berdasarkan mazhab yang dipraktikkan di negara ini.
Ramadhan tahun ini bakal berakhir, mampukah kita menemui Ramadhan
akan datang adalah urusan Allah SWT, pemergian Ramadhan ditangisi, Syawal
dinanti. Salam Aidil Fitri, maaf zahir dan batin!
(Nota Kaki: Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua
pengunjung blog ini, maaf dipinta sekiranya terdapat entri yang menyinggung
perasaan mana-mana pihak, sesungguhnya segala entri di dalam blog ini adalah
pandangan peribadi pemiliknya, harap maklum).
Ulasan