MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!
Tinggal dua hari lagi, negara bakal menyambut ulangtahun
kemerdekaaan yang ke-56. “Tanggal 31,
bulan 8, lima puluh tujuh, merdeka, merdeka, negaraku merdeka..” – itu
antara bait lagu allahyarham Sudirman Hj. Arshad antara ikon yang sering
menjadi kenangan setiap kali tibanya bulan kemerdekaan di negara kita.
Apa tidak, seperti negarawan lain yang telah berjuang untuk
memastikan bumi indah ini tidak lagi terbelenggu daripada penjajah, allahyarham
Sudirman juga menyumbangkan idea dan gagasan beliau sendiri setiap kali
menjelang hari kemerdekaan.
Lagu-lagu seperti ‘Warisan’
, ‘31 Ogos’, ‘Bapak’, ‘Di Bumi Bertuah’, ‘Kenali Malaysia, Cintai Malaysia’,
‘Kul it’, ‘Tanah Ini Tanahku (Milik Kita Bersama)’, ‘Tanah Pusaka’, ‘Tegakkan
Bendera Kita’, adalah antara
lagu-lagu patriot yang menjadi ‘jenama’ kentalnya jati diri penghibur negara
ini.
Kini, selepas 56 tahun negara menyambut kemerdekaan, kita
masih membandingkan bagaimana saban tahun kibaran Jalur Gemilang semakin kurang
malah dikhabarkan pula oleh Menteri Komunikasi & Multimedia bagaimana,
kibaran Jalur Gemilang di negara-negara jiran yang jauh lebih meriah setiap
kali menjelangnya hari Kebangsaan negara-negara seperti Singapura, Indonesia
dan Thailand.
Kita tidak sepatutnya menuding jari kepada Kerajaan mahupun
menteri yang terbabit, namun yang lebih mendasar adalah memikirkan bagaimana
harga kemerdekaan yang kita capai dengan darah dan perjuangan wira-wira
seolah-olah tidak mempunyai sebarang erti dan nilai kepada rakyat Malaysia khususnya
pada masa sekarang.
Menunggu untuk diberikan Jalur Gemilang secara percuma
sebenarnya bukanlah potret yang sewajarnya dipamerkan setiap kali menjelang
sambutan kemerdekaaan negara. Bukankah
yang lebih ikhlas ialah menggunakan hasil titik peluh sendiri untuk menyemai
jati diri dalam diri kita.
Mungkin agak malang bagi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang
menjadi Menteri Komunikasi & Multimedia sekarang, sebagai menteri yang
bertanggungjawab secara langsung terhadap sambutan Hari Kemerdekaan negara, memandangkan
kibaran Jalur Gemilang agak tidak memberangsangkan. Di mana silapnya, tiada siapa pun dapat
menjawab dengan tepatnya.
Pada masa-masa genting seperti ini rakyat Malaysia tentu
terkenang kepada Menteri-menteri sebelum ini, misalnya bagaimana Datuk Mohamad
Rahmat (Tok Mat), yang gigih memeriahkan sambutan dan kibaran bendera Malaysia
ketika beliau menjadi teraju sambutan Hari Kemerdekaan ketika menjadi Menteri
Penerangan dari tahun 1978-1982 dan sekali lagi pada 1987 – 1999.
Begitu juga, Datuk Seri Rais Yatim yang menjadi Menteri
Penerangan dari tahun 1984 – 1986 dan sekali lagi dari tahun 2009 hingga
sebelum Pilihanraya Umum yang lalu. Walaupun
menteri yang sekarang ini pernah menjadi Menteri yang bertanggungjawab terhadap sambutan
kemerdekaan negara pada tahun 2009, namun kibaran Jalur Gemilang tidaklah
‘seburuk’ pada masa ini.
Kementerian Komunikasi & Multimedia perlulah merancang
dan merencanakan dengan teliti sambutan Hari Kemerdekaan bukan sahaja dengan
peruntukan dan dana yang lebih besar tetapi yang lebih penting adalah
‘membudayakan’ semangat patriotism kepada rakyat sepanjang masa tanpa perlu
menunggu menjelangnya bulan kemerdekaan.
Sambutan juga perlu diadakan di semua peringkat, sekolah,
kampung, daerah, DUN, Parlimen, selain daripada negeri dan pusat.
Selain itu, apa yang lebih utama adalah Kerajaan (baca:
Kerajaan BN) bermuhasabah diri dengan
bertanya apakah yang sedang dilakukan benar-benar menggembira dan membahagiakan
rakyat? Apatah lagi dengan baru
berlalunya Pilihanraya Umum ke-13, tentulah luka dan nanar masih terasa
kesannya. Kepada Menteri Komunikasi
& Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, apa yang akan rakyat Malaysia
catat dalam kad laporan beliau adalah, “Mat,
teruskan usaha gigih”!
Jika pawagam yang beroperasi secara komersil tidak memainkan lagu Negaraku kerana
khabarnya masih tidak menerima CD
percuma daripada Kementerian Komunikasi & Multimedia, apa lagi yang
diharapkan daripada anda dan saya?
Salam Hari Merdeka, moga kita akan terus menjadi bangsa yang
merdeka – jiwa dan raga!
Ulasan