POPULIS, PTPTN & CCRIS
Jika Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berhasrat
untuk mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan Oktober
ini, tentulah beliau akan kecundang dan tidak terpilih.
Dengan amaran tegas kepada peminjam yang gagal melunaskan
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk
menyenaraikan mereka dalam Sistem Rujukan Maklumat
Kredit Pusat (CCRIS), tentulah dianggap tidak popular.
Namun menjadi Menteri yang populis
dan membiarkan belenggu ‘hutang’ PTPTN menjadi barah bukanlah pilihan Menteri
Pendidikan II itu. Saya tidak menyokong
tindakan yang disyorkan oleh Menteri tersebut namun percaya amanah yang
diberikan kepada beliau tentulah tidak akan disalahgunakan dan menyebabkan para
mahasiswa menjadi mangsa.
Malah langkah menyenaraikan dalam
CCRIS tentulah merupakan langkah terakhir selepas semua tindakan ‘pujuk’ dan
nasihat tidak membuahkan hasil. Namun
begitu banyak pihak yang beranggapan bahawa tindakan menyenaraikan CCRIS adalah
sangat drastik dan bakal mengundang masalah sampingan yang lain pula.
Pemuda UMNO, PKR dan PAS juga
membantah tindakan ini. Sebenarnya bukan
susah untuk meneka mengapa banyak pihak yang membantah penyenaraian dalam CCRIS
ini kerana ianya akan memberikan implikasi negatif kepada mereka yang
disenaraikan dalamnya.
Menurut Pengarah Strategi PKR yang
juga Ahli Parlimen Pandan, menyifatkan para peminjam PTPTN yang disenaraikan
dalam CCRIS seperti ‘jatuh ditimpa tangga’, apa tidaknya dengan penyenaraian
dalam CCRIS, ia bakal menyebabkan institusi kewangan akan menjadikan hutang
PTPTN sebagai satu lagi kriteria dalam kelulusan pinjaman lain seperti pinjaman
perumahan, kenderaan dan pinjaman peribadi.
Pemuda UMNO pula dikhabarkan akan
menghantar notis bantahan rasmi berhubung tindakan PTPTN ini, di samping
mengingatkan PTPTN supaya tidak membebankan graduan dengan tindakan
penyenaraian ini.
Menyenaraikan para peminjam PTPTN
dalam CCRIS bukanlah sesuatu yang dianggap ‘bijak’ ini kerana PTPTN seharusnya
mengkaji mengapa ramai peminjam masih gagal melunaskan pinjaman mereka. Adakah kaedah bayaran balik yang tidak begitu
‘memberangsangkan’ atau kerana ramai mahasiswa sebenarnya masih tidak mempunyai
pekerjaan yang stabil untuk membolehkan mereka mula membuat bayaran semula.
Walaupun usaha PTPTN menyenaraikan
peminjam ingkar dalam CCRIS, adalah bagi menggalakan budaya pembayaran balik
sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada peminjam lain pula, sebenarnya
tidak banyak membantu. Mungkin PTPTN
perlu memikirkan kaedah lain bagi mencapai tujuan ini.
Dengan isu pemansuhan PTPTN yang
dinyatakan dalam manifesto pembangkang yang tidak dapat direalisasikan kerana kegagalan
pembangkang untuk membentuk Kerajaan di
peringkat Persekutuan, para mahasiswa sebenarnya beranggapan bahawa PTPTN tidak
sepatutnya membebankan mereka. Namun
dengan langkah yang diumumkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh nampaknya para
mahasiswa dikhabarkan akan membuat demonstrasi membantah tindakan terbaru PTPTN
yang diumumkan oleh Menterinya.
Nampaknya Datuk Seri Idris Jusoh
mempunyai tugas berat untuk mengimbangi keperluan untuk meningkatkan bayaran
balik PTPTN, menjaga hati para mahasiswa dan menawarkan diri untuk dipilih
sebagai salah seorang daripada 25 ahli Majlis Tertinggi UMNO menjelang
pemilihan Oktober nanti.
Adakah beliau bersedia untuk
bersifat lunak selepas diasak oleh pelbagai pihak? Hanya keinginan untuk berada sebagai salah
seorang daripada 25 Ahli MT sahaja yang mampu menggugahnya!
Ulasan