APA KHABAR RINGGIT?

Pasca PRU ke 13 yang berlangsung pada 5 Mei yang lalu, maknanya pada 15 Ogos yang lalu usia pentadbiran Perdana Menteri telah mencapai 100 hari.  Lazimnya setiap pemimpin melalui ujian ‘pemantauaan’ 100 hari yang lumrah.

Namun pada fasa kedua pentadbiran Perdana Menteri tidak banyak yang dilakukan selepas 100 hari berbanding yang dilakukan oleh beliau sewaktu mengambilalih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri ke-6 pada tahun 2009 daripada Pak Lah.

Sebenarnya bukan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri sahaja yang perlu dilihat dalam tempoh 100 hari tetapi apa yang berlaku sekeliling kita.  Tudinglah apa sahaja, daripada kes jenayah yang dilaporkan saban hari, sehingga kepada perangai Menteri yang ‘tidak faham bahasa’, isu TPPA, dan kini yang lebih membimbangkan adalah apabila Ringgit berada dalam keadaan yang lemah.

Namun seperti isu TPPA yang tidak banyak diketahui sehinggalah kepada rundingan kali ke-18 yang berlangsung di Kota Kinabalu, barulah pelbagai suara yang bangkit menentang isu tersebut.  Kelemahan ringgit tidak banyak dikhabarkan dalam akhbar khususnya akhbar arus perdana berbahasa Melayu.

Apakah muslihat, ‘downplay’ ini oleh akhbar-akhbar arus perdana Melayu, tidak diketahui, mungkin bagi menjaga politik para pemimpin UMNO khususnya menjelang persidangan UMNO nanti.

Ringgit merosot  sehingga 0.4% kepada 3.272 setiap dolar Amerika, yang paling rendah sejak Jun 2010.  Nilai Ringgit juga menurun berbanding British pound, Euro dan mata wang asing utama yang lain.      
                           
Agensi rating global, Fitch Ratings telah pun menurunkan pengkadaran kredit Malaysia daripada ‘stabil’ kepada ‘negatif’ tidak lama dulu. 

Selepas 100 hari, tentulah anda dan saya ingin melihat Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan memberikan jaminan ekonomi yang lebih mapan selain daripada hanya mengungkapkan “Kerajaan tahu apa yang perlu dilakukan”, jika tidak ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang telah diturunkan dari 5.6% kepada 5.1% oleh Bank Dunia akan terus merudum.

Zaman ‘mengkosmetik’ angka kepada yang lebih muluk telah lama berlalu, Malaysia sebagai sebuah negara tentulah menjadi tumpuan dunia luar, apatah lagi ia juga terlibat dalam rundingan TPPA yang diinisiatifkan oleh Amerika. 

Dengan perkembangan dan kemampuan capaian internet dan media sosial, hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi dan kelemahan kewangan negara tidak lagi mudah disembunyikan.

Di sana sini telah mula mendengar rungutan bagaimana para ibu bapa yang anak mereka belajar di luar negara mula merasakan bahangnya.  Apa tidaknya, tukaran wang yang dikirim kepada anak mereka mula mengecut dan memerlukan lebih banyak Ringgit untuk memberikan nilai yang sama diberikan beberapa bulan yang lalu.


Perdana Menteri dan Kerajaan seharusnya mengambil langkah proaktif agar Ringgit kita akan lebih kukuh, itu pun jika tidak perlu memikirkan apakah kerusi Presiden UMNO akan dipertandingkan atau tidak!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
x faham..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU