SANGGUPKAH MENJILAT LUDAH?

Rakyat Malaysia seperti sudah lupa kewujudan parti terbesar yang mewakili kaum Cina dalam gabungan Barisan Nasional – MCA.  Apa tidaknya selepas hampir tiga bulan pasca Pilihanraya Umum ke-13, masih tidak mempunyai wakil MCA dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun kerusi Menteri Pengangkutan yang diperuntukkan kepada MCA kini masih dipangku oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga merupakan Menteri Pertahanan, namun MCA masih berpegang kepada resolusi dan pendirian mereka.

Kini, pada musim menjelang perayaan seperti sambutan Aidil Fitri, Datuk Seri Hishamuddin muncul dalam iklan Kementerian Pengangkutan dalam kapasiti beliau sebagai pemangku Menteri Pengangkutan, sesuatu yang lazimnya menjadi tradisi Menteri Pengangkutan daripada MCA sebelum ini.

Resolusi yang dibuat pada Perhimpunan Agungnya pada 2011 dan 2012 bahawa mereka tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya keputusan dan prestasi mereka dalam PRU 13 lebih buruk daripada PRU 12.  MCA berharap dengan menerima resolusi ini akan mengubah dan meningkatkan sokongan masyarakat Cina kepada parti itu, sebenarnya meleset kerana masyarakat Cina jelas menolak MCA dalam PRU 13 dengan hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Kumpulan NGO Cina pula berharap MCA akan mengubah keputusan dan pendirian parti itu dan menerima jawatan kerajaan.  Dalam sesi dialog ‘Interaksi Mengenai Reformasi MCA dan Masa Depan Masyarakat Cina’ yang diadakan baru-baru ini kumpulan NGO Cina mengemukakan isu ini.  Sebanyak 58 NGO Cina daripada semua sektor termasuk perdagangan, industri dan pendidikan menyertai dialog ini.

Menurut Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata: "Mereka telah menyatakan pandangan dan berpendapat bahawa MCA boleh membantu masyarakat Cina untuk menyelesaikan banyak isu yang melibatkan mereka dan mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan untuk menggubal dasar-dasar untuk kebaikan negara ini.  Oleh itu, mereka rasa adalah wajar MCA perlu hadirkan diri dalam Kabinet,"

Membiarkan masyarakat Cina tidak diwakili dalam kabinet dan kerajaan adalah sesuatu yang merugikan kaum itu, namun selain daripada desakan dan pandangan daripada NGO Cina, sebenarnya MCA perlu menggembelingkan para pemimpinnya di semua peringkat untuk sedar betapa pentingnya mempunyai wakil dalam Kerajaan.

Jika resolusi dibuat dalam Perhimpunan Agungnya, maka yang lebih wajar dan sepatutnya adalah membuat resolusi bagi menerima jawatan dalam kerajaan dan membatalkan resolusi sebelumnya.  Soalnya adakah para perwakilan dan para pemimpin MCA sanggup untuk melakukannya demi survival kaum Cina keseluruhannya. 

Memanglah ‘berpatah balik’ dalam hal ini menjadi bahan tertawa dan jenaka pakatan pembangkang, namun yang lebih penting adalah kaum Cina di Malaysia mempunyai wakil mereka dalam Kerajaan, supaya para pengundi yang mengundi dan menyokong MCA dalam PRU 13 yang lalu diwakili suara mereka.  MCA, Selamat menjilat ludah!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
demi survival...
Tanpa Nama berkata…
apa pun bisa...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU