PESTABOLA MERDEKA & JIWA TERJAJAH!

Pestabola  Merdeka yang diadakan untuk tujuan meraikan negara bebas dari perjuangan menentang penjajah.  Mula dianjurkan sejak tahun 1957  dengan siri pertama di menangi oleh pasukan Hong Kong.
Tiket Pesta Bola Merdeka kali terakhir diadakan pada 2008 dengan penyertaan 8 pasukan!
Gambar ihsan: gazza-world.blogspot.com
Selepas itu saban tahun Pestabola Merdeka mengisi kalendar sukan bola sepak setiap kali menjelang sambutan hari kemerdekaan.  Namun itu hanyalah sehingga tahun 1988, pada tahun berikutnya dan pada tahun 1990 Pestabola Merdeka tidak berlangsung dan diadakan semula pada tahun 1991 dan kemudiannya pada tahun 1993 dan 1995.

Kali terakhir berlangsungnya Pestabola Merdeka adalah pada tahun 2008 dengan pasukan Vietnam muncul juara di samping negara kita sebagai naib juara.  

Selepas beberapa tahun, kini Pestabola Merdeka akan diadakan semula, namun pertandingan ini diadakan di negeri Pahang dengan penyertaan empat buah negara, Singapura, Thailand, Myanmar di samping negara kita yang diwakili oleh pasukan bawah 23 tahun.

Dengan hanya penyertaan empat buah negara, diadakan di Pahang malah penyertaan adalah oleh pasukan bawah 23 tahun atau dalam ertikata lain, pasukan ‘junior’, penganjuran Pestabola Merdeka kelihatannya seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.

Apakah rasional penganjurannya di Pahang juga tidak diketahui selain hanya dimaklumkan untuk memberi peluang kepada peminat Pahang dan negeri-negeri berhampiran untuk menikmatinya.

Penganjuran sebuah pertandingan bola sepak yang disinonimkan dengan kemerdekaan negara, seharusnya dianjurkan secara bersungguh dan penyertaan yang lebih banyak pasukan.

Walaupun begitu, apa yang lebih menyedihkan dalam suasana dan kemelut merudumnya kualiti pasukan kebangsaan, penganjuran seperti Pestabola Merdeka tidak dilihat sebagai satu platform pendedahan tetapi satu pesta untuk ‘mengisi kantung’!

Apa tidaknya dengan penyertaan pasukan yang terhad dan diwakili oleh hanya pasukan ‘junior’, harga tiket pula agak mahal.  Adakah harga tiket menjadi mahal kerana FAM memberikan hak penjualan tiket kepada entiti luar yang sudah pasti akan mengambil sekurang-kurangnya 30% daripada harga tiket mengikut kelaziman peratusan runcit.

FAM sepatutnya melalui penganjuran pertandingan seperti Pestabola Merdeka ‘memurahkan’ harga tiket supaya lebih ramai peminat dapat menikmati pertandingan di samping menyemai semangat mengingati kemerdekaan negara. 

Apakah FAM tidak boleh melaksanakan penjualan tiketnya sendiri sehingga memerlukan penglibatan ‘entiti’ luar?

Dengan penganjuran ‘tangkap muat’ dan penyertaan pasukan yang minima dan harga tiket yang dianggap mahal, apakah matlamat penganjuran Pestabola Merdeka dapat dicapai?  

FAM perlu mengambil inisiatif untuk mendengar rungutan para peminat bola sepak yang terpaksa membayar mahal di atas tindakan  FAM ‘menswastakan’ penjualan tiket kepada pihak luar.


Apakah yang lebih utama, peminat bola sepak tempatan atau ‘entiti’ penjual tiket yang menyebabkan harga tiket terpaksa ‘dinaikkan’.  Janganlah berpesta bola merdeka dengan jiwa yang terjajah!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
apa gila tiket mahal nak mampos..
SIS berkata…
pestabola merdeka mengimbau kenangan stadium merdeka..apa dah jd dgn stadium merdeka?..pestabola merdeka yg tak merdeka...!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU