PESTABOLA MERDEKA & JIWA TERJAJAH!
Pestabola Merdeka yang diadakan untuk tujuan meraikan negara
bebas dari perjuangan menentang penjajah.
Mula dianjurkan sejak tahun 1957
dengan siri pertama di menangi oleh pasukan Hong Kong.
Tiket Pesta Bola Merdeka kali terakhir diadakan pada 2008 dengan penyertaan 8 pasukan! Gambar ihsan: gazza-world.blogspot.com |
Selepas itu saban tahun Pestabola Merdeka mengisi kalendar sukan
bola sepak setiap kali menjelang sambutan hari kemerdekaan. Namun itu hanyalah sehingga tahun 1988, pada
tahun berikutnya dan pada tahun 1990 Pestabola Merdeka tidak berlangsung dan
diadakan semula pada tahun 1991 dan kemudiannya pada tahun 1993 dan 1995.
Kali terakhir berlangsungnya Pestabola Merdeka adalah pada tahun
2008 dengan pasukan Vietnam muncul juara di samping negara kita sebagai naib
juara.
Selepas beberapa tahun, kini
Pestabola Merdeka akan diadakan semula, namun pertandingan ini diadakan di
negeri Pahang dengan penyertaan empat buah negara, Singapura, Thailand, Myanmar
di samping negara kita yang diwakili oleh pasukan bawah 23 tahun.
Dengan hanya penyertaan empat buah negara, diadakan di
Pahang malah penyertaan adalah oleh pasukan bawah 23 tahun atau dalam ertikata
lain, pasukan ‘junior’, penganjuran Pestabola Merdeka kelihatannya seperti ‘melepaskan
batuk di tangga’.
Apakah rasional penganjurannya di Pahang juga tidak
diketahui selain hanya dimaklumkan untuk memberi peluang kepada peminat Pahang
dan negeri-negeri berhampiran untuk menikmatinya.
Penganjuran sebuah pertandingan bola sepak yang disinonimkan
dengan kemerdekaan negara, seharusnya dianjurkan secara bersungguh dan
penyertaan yang lebih banyak pasukan.
Walaupun begitu, apa yang lebih menyedihkan dalam suasana
dan kemelut merudumnya kualiti pasukan kebangsaan, penganjuran seperti
Pestabola Merdeka tidak dilihat sebagai satu platform pendedahan tetapi satu pesta untuk ‘mengisi kantung’!
Apa tidaknya dengan penyertaan pasukan yang terhad dan
diwakili oleh hanya pasukan ‘junior’, harga tiket pula agak mahal. Adakah harga tiket menjadi mahal kerana FAM
memberikan hak penjualan tiket kepada entiti luar yang sudah pasti akan
mengambil sekurang-kurangnya 30% daripada harga tiket mengikut kelaziman
peratusan runcit.
FAM sepatutnya melalui penganjuran pertandingan seperti
Pestabola Merdeka ‘memurahkan’ harga tiket supaya lebih ramai peminat dapat menikmati
pertandingan di samping menyemai semangat mengingati kemerdekaan negara.
Apakah FAM tidak boleh melaksanakan penjualan
tiketnya sendiri sehingga memerlukan penglibatan ‘entiti’ luar?
Dengan penganjuran ‘tangkap muat’ dan penyertaan pasukan
yang minima dan harga tiket yang dianggap mahal, apakah matlamat penganjuran
Pestabola Merdeka dapat dicapai?
FAM perlu
mengambil inisiatif untuk mendengar rungutan para peminat bola sepak yang
terpaksa membayar mahal di atas tindakan
FAM ‘menswastakan’ penjualan tiket kepada pihak luar.
Apakah yang lebih utama, peminat bola sepak tempatan atau ‘entiti’
penjual tiket yang menyebabkan harga tiket terpaksa ‘dinaikkan’. Janganlah berpesta bola merdeka dengan jiwa
yang terjajah!
Ulasan